Kami Hanya Belum Diserang Zombie Sahaja – PM Sepanyol”
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEPANYOL, 16 September 2022 – Kerajaan Sepanyol terpaksa berdepan dengan beberapa situasi kritikal sejak beberapa tahun lepas seperti pandemik COVID-19 dan beberapa keadaan kritikal yang lain, kecuali serangan zombie, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Selasa lalu.
Sanchez menyatakan bahawa sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2018, kerajaan yang beliau pimpin terpaksa berdepan dengan pelbagai serangan seperti pandemik COVID-19, monkeypox, taufan Storm Filomena serta letusan gunung berapi La Palma.
Negara tersebut juga tidak terlepas dari menghadapi isu berkenaan konflik di Ukraine beserta dengan kesan ekonomi yang berterusan.
Kesan ekonomi yang dialami oleh Sepanyol adalah agak ketara berbanding dengan negara-negara Kesatuan Eropah lain yang juga mengalami masalah kenaikan harga barang.
Institut Statistik Kebangsaan Sepanyol telah melaporkan bahawa inflasi pengguna di negara itu telah melonjak kepada 10.7% pada bulan Julai lalu, manakala harga elektrik telah melambung sehingga 49% dan harga gas juga turut meningkat kepada 23.9%. Harga barangan runcit pula meningkat sehingga 13.5% sejak setahun yang lalu.
Ketika ditanya mengenai undian yang lemah terhadap kerajaan pimpinannya, Sanchez mengatakan bahawa beliau faham akan kekecewaan serta kemarahan rakyat dan beliau sedang berusaha untuk membaiki keadaan.
Tidak seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang benar-benar telah membuat protokol berkenaan serangan zombie, Sepanyol sebenarnya tidak melakukan sebarang persediaan untuk kejadian seperti itu.