Tempatan

Kami Bersaing Niaga Sesama Sendiri Tapi Bumiputera… – YB Ganabatirau

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 24 November 2021 – “Ianya amat memalukan, Perdana Menteri. Pernahkah kamu mencadangkan idea-idea sedemikian untuk golongan bukan Bumiputera sejak kamu menjadi Perdana Menteri? Sebagai seorang Perdana Menteri dalam negara berbilang bangsa, kamu sepatutnya bercakap mengenai kesamarataan dan bagaimana untuk membangunkan Malaysia dengan sama-sama berganding bahu dengan rakyat. Itulah caranya bagaimana kita patut mempromosi “Keluarga Malaysia”.

Kenyataan ini dilemparkan oleh ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sejurus pengumuman bahawa Kerajaan akan memperuntukkan kuota bagi Bumiputera memiliki premis perniagaan di lokasi strategik.

Menurut V Ganabatirau, pengumuman tersebut membuatkannya terdiam seribu bahasa.

Kata Exco Selangor itu lagi, cadangan yang dipersetujui itu sebenarnya adalah untuk membunuh perniagaan-perniagaan bukan Bumiputera kerana hakikatnya, kebanyakan perniagaan sebenarnya dimiliki oleh Bumiputera.

“Banyak perniagaan-perniagaan dimiliki oleh Bumiputera di kebanyakan kawasan, namun malangnya, ia bukan dimiliki oleh golongan Bumiputera yang biasa, tetapi kroni-kroni kaya dan elit Bumiputera. Ramai antara mereka menyewakan perniagaan-perniagaan mereka sama ada kepada warga asing atau kaum Cina atau kaum India. Warga-warga asing atau rakyat-rakyat tempatan ini akan membayar komisen kepada pemilik Bumiputera.”

Ujar V Ganabatirau, yang bukan Bumiputera inilah yang sebenarnya perlu bersaing dan berlawan antara satu sama lain di saat golongan Bumiputera memperoleh perniagaan mereka dengan sudu perak di mulut.

Berkata lanjut, V Ganabatirau turut mempersoalkan bagaimana pula dengan bukan Bumiputera susulan hasrat kerajaan untuk menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga, khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka.

“Jadi bagaimana dengan bukan Bumiputera? Adakah kami ini bukan rakyat di negeri yang dicintai ini? Sekali lagi, nampaknya kami yang bukan Bumiputera perlu bersaing untuk ‘sisa-sisa’ selepas Bumiputera sudah mengambil bahagian-bahagian mereka.”

“Perdana Menteri menambah bahawa ia adalah sukar untuk Bumiputera mendapat tempat kerana harga sewa yang mahal. Satu kenyataan yang bodoh!”

Oleh sebab itu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu mahu Kerajaan menyemak semula ekuiti untuk semua kaum dengan telus dan jujur.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk Kerajaan menyemak semula ekuiti untuk semua kaum dengan telus dan jujur. Saya tidak percaya bahawa ekuiti Bumiputera masih rendah. Lain kali, masukkan juga bekas Perdana Menteri, Pengerusi GLC, Menteri dan beberapa pemilik perniagaan terkemuka semasa mengira ekuiti. Kita hidup di alaf 21 dan tolong berhenti menipu atas sebab politik.”

Di akhir kenyataan, V Ganabatirau menyatakan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob gagal memahami aspirasi sebenar ‘Keluarga Malaysia’.

“Sebenarnya, dengan mengemukakan cadangan-cadangan ini, anda gagal untuk memahami aspirasi-aspirasi sebenar ‘Keluarga Malaysia’!”

Leave a Reply

Back to top button