Kalimah Allah: PM Janji Semak & Selaraskan Semua Undang-Undang Selari Titah Majlis Raja-Raja
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – Kerajaan akan memperkemas semua undang-undang berkaitan penggunaan kalimah Allah selari dengan titah Majlis Raja-Raja Melayu.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat hari ini memaklumkan, Kerajaan akan memperkemas peraturan berhubung isu ini supaya tidak berlakunya kekeliruan.
“Jadi apa yang perlu dibuat sepertimana yang disebut oleh Bagan Serai ialah untuk Kerajaan memperkemaskan supaya tidak ada peraturan yang dilihat bercanggah dengan keputusan Raja-Raja Melayu. Itu saja.”
BACA JUGA: Selepas 56 Tahun, Bekas Tentera Zionis Pulang Kunci Pintu Masjidil Aqsa
BACA JUGA: Isu Tarik Balik Rayuan Kalimah Allah Dibentang Hari Ini
BACA JUGA: Jalan Sesak: Kuala Lumpur Rekod 6 Juta Kenderaan Setiap Hari
“Jadi sekarang ni kalau tanya saya tentang keputusan Mahkamah itu bukan bidang saya tapi yang saya boleh buat dari sudut Kerajaan dan keputusan Jemaah Menteri tetap dengan keputusan Raja-Raja Melayu, tidak boleh sama sekali di Semenanjung Tanah Melayu, dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kata beliau, Kerajaan harus memperbetulkan sebarang keputusan termasuklah peraturan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kedudukan dan bidang keputusan yang dilihat tidak jelas, mengelirukan atau bercanggah.
“Jadi apa yang kita buat di sini, sementara itu, keputusan kita adalah untuk mematuhi sepenuhnya keputusan Raja-Raja Melayu mengenai ‘Allah’ di Semenanjung dan ruang di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Sebelumnya, YAB Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang mengatakan bahawa keputusan berhubung kes Jill Ireland ini hanya terpakai di Sarawak sahaja sedangkan Pekeliling KDN bertarikh 5 Disember 1986 hasil daripada keputusan dasar Kabinet pada 19 Mei 1986 adalah meliputi seluruh negara dan tidak khusus di Sarawak.
Malah, rampasan lapan cakera padat yang berlaku di LCCT Sepang juga berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya dan bukannya Borneo.
Katanya juga, penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 10 Mac 2021 juga tidak langsung merujuk kepada pemakaian empat kalimah, ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ secara khusus untuk Sarawak, namun untuk seluruh negara.