Kalau Boleh Hentikan Rokok Untuk Semua Orang – Tun M
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2022 – “Kalau boleh kita perlu hentikan merokok untuk semua orang, bukan mereka yang lahir pada tahun 2007 sahaja,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, ia harus diperluaskan kepada semua orang biarpun ia satu tanggungjawab yang besar dan amat berat untuk dilaksanakan dengan berkesan.
“Sebab itu dalam segala jenis undang-undang yang kita perkenalkan adakalanya kita perlu buat selangkah demi selangkah bermula dengan yang tidak begitu besar sehingga kita dapat sampai pada tahap kita akan hapuskan sama sekali jenayah itu,” ujarnya sewaktu sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ujar beliau, sekiranya tindakan sedemikian tidak diambil semakin ramai masyarakat yang akan menghidap kanser seterusnya akan mengakibatkan kematian.
Katanya, larangan merokok yang hanya dihadkan kepada mereka yang lahir pada tahun 2007 sahaja didapati bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan sekaligus meningkatkan kadar kutipan cukai serta denda yang dikenakan.
Sebelum ini, satu Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok telah diperkenalkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertujuan untuk mewujudkan Generasi Penamat (GEG) yang hanya akan membabitkan individu lahir selepas 1 Januari 2007.
“Ini (RUU) untuk generasi yang lahir selepas tahun 2007 kerana kita nak tamatkan putaran ganas ketagihan yang sekarang ini wujud di kalangan perokok,” kata beliau sewaktu membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat.