Kajian Dapati Pengambilan Lebih Guru Lelaki Manfaatkan Prestasi Kanak-Kanak
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
FINLAND, 09 Julai 2022 – Hasil sebuah kajian mendapati bahawa peningkatan dalam pengambilan guru lelaki dapat meningkatkan prestasi pembelajaran kanak-kanak.
Dalam kajian yang tertumpu pada kanak-kanak sekolah rendah tersebut, Ursina Schaede (University of Zurich) dan Ville Mankki (University of Turku) melihat kepada perbezaan prestasi kanak-kanak di bawah dua dasar pengambilan tenaga pengajar yang berbeza.
Lapor The Economist, pada asalnya, Finland mengamalkan dasar di mana sekurang-kurangnya 40% tenaga pendidik perlulah terdiri daripada lelaki. Namun, dasar tersebut telah dihapuskan, dan prestasi pembelajaran kanak-kanak dilihat merudum.
Kajian tersebut menelusuri perjalanan lebih kurang 811,000 kanak-kanak yang bersekolah daripada tahun 1988 hingga ke tahun 2000, di mana hasil kajian turut mendapati ‘masa depan’ kanak-kanak yang bersekolah setelah dasar diubah adalah lebih ‘kelam’.
Ia mendapati bahawa pada usia 25 tahun, pelajar yang dahulunya belajar di dalam sistem ‘kurang lelaki’ adalah lebih cenderung untuk menganggur, dan lebih cenderung untuk tidak mempunyai ijazah ataupun sijil vokasional.
Namun kesemua ini menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya punca yang mengakibatkan perubahan ini? Adakah guru lelaki lebih tangkas sebagai ‘idola’ kepada kanak-kanak terbabit?
Jawapannya adalah tidak. Kajian tersebut mendedakan beberapa ‘kelebihan’ guru lelaki berdasarkan statistik ketika itu, dimana purata guru lelaki ketika itu adalah lebih mahir berbanding guru wanita dari beberapa aspek pengetahuan.
Antara bidang kemahiran yang lebih cenderung dimiliki guru lelaki ketika itu adalah pengetahuan matematik aras tinggi, pengetahuan matematik asas dan lebih mahir bertutur menggunakan bahasa ibunda.
Kesemua faktor di atas dipercayai menjadi ‘punca’ penglibatan guru lelaki ketika itu lebih memberikan manfaat kepada kanak-kanak.