Kaji Semula Syarat Nampak Anak Bulan 1 Syawal – Profesor Madya Dr Baharuddin Zainal
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 06 Mei 2022 – Ahli Falak daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Baharuddin Zainal menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengkaji semula syarat kenampakan anak bulan dalam kaedah penyusunan takwim hijri penetapan 1 Syawal supaya tidak timbul kekalutan menyambut Hari Raya Aidilftri.
Ini kerana apabila takwim tidak sama dengan keputusan melihat anak bulan, sudah tentu ia menjejaskan kredibiliti takwim hijri itu sendiri.
Menurutnya seperti dilaporkan Sinar Premium, sebelum ini, syarat kenampakan anak bulan ditetapkan pada ketinggian dua darjah dan jarak sendeng tiga darjah atau umur bulan lebih lapan jam.
Bagaimanapun, mulai Muharram 1443H, syarat penampakan anak bulan yang ditetapkan adalah pada ketinggian tiga darjah dengan jarak sendeng 6.4 darjah.
“Prosedurnya melihat anak bulan, jika kelihatan di mana-mana tempat rasmi, maka penggunaan syarat tidak terpakai,” kata Profesor Madya Dr Baharuddin.
“Tapi oleh sebab sifat anak bulan kali ini berada dalam keadaan hampir memenuhi syarat, maka timbullah berbagai spekulasi.”
Beliau menegaskan, perubahan pada syarat kenampakan anak bulan itu sepatutnya menggambarkan syarat kenampakan anak bulan yang digunakan sepadan dengan takwim kegunaan awam.
Oleh itu, usaha perlu dibuat untuk mendapatkan syarat yang benar-benar menepati keputusan rukyah.
“Jadi saya rasa pihak berkuasa patut kaji semula kredibiliti syarat ini dengan sedikit penyesuaian dengan melihat secara terperinci apakah nilai sebenar yang menentukan anak bulan itu boleh kelihatan. Terutama penggunaan nilai sudut jarak sendeng yang agak besar berbanding dengan rekod kenampakan anak bulan sebelum ini.”
“Sebaik-baiknya syarat yang digunakan nanti adalah adalah sepadan dengan anak bulan yang kelihatan.”
Kata Profesor Madya Dr Baharuddin lagi, kajian penggunaan syarat kenampakan anak bulan juga perlu dilakukan secara berterusan.
Malah, pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan penggunaan rekod kenampakan anak bulan tempatan atau sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara.
“Masyarakat memerlukan takwim yang mereka yakin sebagaimana mereka yakin apabila merujuk jadual waktu solat dalam takwim,” tegas beliau.
Ahad lalu, umat Islam Malaysia terkejut selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Isnin, 02 Mei 2022.
Ia susulan ramai yang menjangkakan tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 03 Mei sebagaimana di dalam takwim rasmi JAKIM.