Kait Agong Pro-Rasuah, Tindakan Boleh Diambil – Tan Sri Musa Hassan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 14 Januari 2022 – “Tindakan tegas boleh diambil jika ada mana-mana pihak termasuk pembangkang yang cuba mengaitkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai pro-rasuah kerana didakwa tidak memecat penjawat awam yang dituduh atas kes rasuah,” tegas Tan Sri Musa Hassan.
Ujarnya, jika ada mana-mana pihak pembangkang yang menyatakan demikian ia bukan sahaja satu kesalahan malah adalah suatu penghinaan dan percubaan untuk mengambil kesempatan bagi menghasut rakyat supaya membenci institusi Raja-Raja Melayu.
Mantan Ketua Polis Negara itu turut menyelar dakwaan sedemikian sebagai satu kesalahan dan boleh diambil tindakan tegas kerana melakukan kesalahan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan negatif yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak yang menyatakan ada kemungkinan kalau YDPA tidak memecat Tan Sri Azam Baki, maka mereka terutamanya pembangkang akan menyatakan yang YDPA sebagai pro-rasuah.
Menurutnya, Tan Sri Azam Baki belum pun dituduh atas kesalahan rasuah seperti yang diwar-warkan beberapa pihak di media massa.
“Perkara ini adalah tuduhan liar yang masih lagi dalam siasatan. Oleh itu, beliau tidak perlu melepaskan jawatannya.”
Tan Sri Musa berkata, yang melantik beliau sebagai Ketua Pengarah SPRM adalah YDPA, oleh itu hanya YDPA yang boleh memecatnya.
“Dalam undang-undang administratif, pihak yang melantik boleh memecat.”
Jelas beliau lagi, perkara itu tidak akan menyusahkan YDPA kerana pemecatan seseorang penjawat awam perlu berdasarkan undang-undang dan juga kesalahan yang telah disahkan berlandaskan peruntukan perundangan sedia ada.
Maka sudah tentu, seseorang penjawat awam tidak boleh dipecat hanya di atas tuduhan liar dan sangkaan buruk semata-mata dengan niat tertentu sahaja, ujarnya.
Pada Rabu lepas, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.
Azam dilaporkan berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.