Antarabangsa

Kadar Mandul Dunia Arab Hampir 2 Kali Ganda Kadar Mandul Dunia – Dewan Kerjasama Teluk

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SAUDI ARABIA, 18 Ogos 2022 – Kadar ketidaksuburan di Arab Saudi, United Arab Emirates (UAE) dan Dewan Kerjasama Teluk (GCC) meningkat dan melebihi dua kali ganda dari purata global disebabkan oleh gaya hidup dan tabiat pemakanan, menurut Dr Carol Coughlan dari Klinik Kesuburan ART Fertility, Dubai.

Data berdasarkan penyelidikannya menunjukkan bahawa anggaran ketidaksuburan global adalah kira-kira 15 peratus tetapi di seluruh GCC adalah setinggi 35 hingga 40 peratus.

“Kami melihat trajektori menaik yang berterusan dalam ketidaksuburan primer dan sekunder di rantau ini yang sebahagiannya disebabkan oleh budaya dan gaya hidup.”

“Gaya hidup yang tidak aktif, kurang senaman fizikal dan diet tinggi kalori juga menjadi faktor penyumbang kepada kadar obesiti. Indeks Jisim Badan (BMI) dilihat mempunyai kaitan dengan risiko ketidaksuburan susulan daripada ketidakstabilan hormon dan ketidakfungsian ovulasi,” kata beliau.

Hasil dari penyelidikan itu turut menunjukkan bahawa wanita obesiti yang menjalani In Vitro Fertilization (IVF) kurang bertindak balas disebabkan Controlled Hyperstimulation Ovary (COH) dan lebih berisiko untuk mengalami keguguran.

Dr Monica Chauhan, Pakar Obstetrik dan Ginekologi serta Ketua Jabatan di Pusat Pembedahan Hari Burjeel di Pulau Al Reem, Abu Dhabi turut menyedari penurunan kadar kesuburan itu.

“Menurut beberapa kajian dan data baru-baru ini, terdapat trend penurunan dalam kadar kesuburan di UAE disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya peningkatan kadar obesiti serta gaya hidup termasuk gaya hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.”

Tambahnya, perkahwinan lewat, melambatkan proses kehamilan serta masalah endokrinologi yang semakin berleluasa turut menyumbang kepada faktor ketidaksuburan itu.

Oleh itu, Dr Sandesh Kade, Pakar Bedah Ginekologi mencadangkan agar kesedaran mengenai masalah kesuburan ini boleh dipertingkatkan melalui pendidikan kesihatan di peringkat sekolah seperti pendidikan mengenai haid dan jangka waktu subur.

Bukan itu sahaja, risalah pendidikan dan sesi kaunseling secara peribadi juga boleh ditawarkan diikuti dengan peranan media dalam mewujudkan kesedaran pada skala yang lebih besar.

“Isu-isu berkenaan _Polycystic ovary syndrome_ (PCOS) dan endometriosis yang berleluasa memerlukan penjagaan dan pengurusan yang sewajarnya,” jelasnya.

 

Leave a Reply

Back to top button