Kad Pengenalan Palsu Dijual Serendah RM250
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 April 2022 – Lapan pengawal keselamatan warga Filipina yang berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan dalam operasi yang dilakukan secara serentak di tiga lokasi sekitar Shah Alam, Selangor antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari pada Khamis lepas kerana memiliki kad pengenalan palsu.
“Siasatan awal mendapati semua lapan pengawal keselamatan yang ditahan itu berasal dari Basilan, Filipina.”
“Ketika disoal siasat, mengaku mendapatkan kad pengenalan daripada ejen dengan harga antara RM250 hingga RM500,” jelas Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Nooruladzim Ateman.
Menurut beliau, pengakuan itu didedahkan oleh mereka ketika disoal siasat anggota penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau memberitahu, operasi berkenaan menyasarkan pengawal keselamatan yang bukan hanya menggunakan kad pengenalan palsu, tetapi juga menggunakan dokumen milik pihak lain.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan berlaku pergelutan antara tiga pengawal keselamatan dengan penguatkuasa JPN disebabkan mereka cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan.
“Namun ketangkasan anggota operasi berjaya menahan semua pengawal keselamatan terbabit untuk proses dokumentasi.”
“Mereka yang ditahan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.