Jutaan Botol Air Minuman, Pek Makanan Sedia Dimakan Diperlukan Di Gaza
KAHERAH, 24 Oktober 2023 – Jutaan botol air minuman serta pek makanan sedia dimakan diperlukan buat rakyat di Gaza, menurut Pengurus Operasi Kecemasan Bulan Sabit Merah, Lotfy Soliman Gheith.
Memetik kepada sebuah berita tempatan, beliau yang berkata dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pek makanan yang sedia dimakan menjadi keutamaan ketika ini kerana kebanyakan penduduk sukar untuk memasak berikutan kehilangan tempat tinggal serta sumber air bersih.
Buat masa ini, mereka ketiadaan air bersih, makanan, elektrik dan diikuti dengan sumber tenaga lain yang terhad serta infrastruktur yang tidak lagi berfungsi, katanya sewaktu sesi taklimat kepada beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dari Turkiye, Jordan, United Kingdom (UK) dan Muslim Care Malaysia (MCM) di Kaherah, Mesir, kelmarin.
Kata beliau, “Secara purata, setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya dua botol air minuman satu liter setiap hari. Fokus kami ialah 500,000 pelarian yang mencari perlindungan di Rafah. Ini bermakna, kita perlukan satu juta botol minuman sehari.”
“Jika dicampur dengan 1.5 juta orang di bahagian lain di Gaza, kita memerlukan bekalan berbilion botol air minuman pada masa kritikal ini kerana kami menjangka perang ini terus berlarutan,” jelasnya.
Berkata lanjut, setakat ini hanya Bulan Sabit Merah Mesir yang bernaung di bawah Bulan Sabit Merah Antarabangsa yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Mesir untuk melintasi pintu sempadan Rafah bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut beliau, situasi yang berlaku ketika ini merupakan yang paling teruk pernah beliau alami sepanjang terbabit dalam operasi bantuan kepada mangsa konflik Palestin-Israel sejak 2008 berikutan sekatan bagi menghantar bantuan yang ketat serta situasi yang sangat kritikal berbanding sebelum ini.