Jumlah Mangsa Banjir Di Selangor Turun, Johor dan Melaka Kekal
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 22 November 2022 – Jumlah mangsa banjir di Selangor merekodkan penurunan, manakala bilangan mangsa di Johor dan Melaka masih kekal seperti malam tadi, lapor berita tempatan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor melaporkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 391 orang berbanding 400 orang pada malam tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu lima di Kuala Langat dan empat di Kuala Selangor.
Di Johor pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melaporkan jumlah mangsa banjir kekal pada 62 orang daripada 18 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di dua daerah iaitu Segamat dan Tangkak.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka pula memaklumkan jumlah mangsa banjir di Alor Gajah kekal 11 orang daripada empat buah keluarga dari Kampung Belimbing dan Kampung Pulau. Kesemua mangsa masih berada di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal.
Walau bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di negeri Perak mencatatkan peningkatan kepada 780 orang daripada 222 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.