Jumlah Kenderaan Melebihi Populasi Penduduk Malaysia 34 Juta Orang
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2024 – Jumlah kenderaan berdaftar di negara ini telah melebihi populasi penduduk Malaysia yang dianggarkan seramai 34 juta orang iaitu sebanyak 36.6 juta pada tahun lalu.
Rekod mencatat peningkatan sebanyak lima juta kenderaan berdaftar berbanding dari tahun 2019 hingga 2023.
Pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, peningkatan ‘luar biasa’ ini dilihat sebagai punca utama kemalangan jalan raya terus meningkat saban tahun mengakibatkan negara terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM25 bilion.
Justeru itu, beliau berpandangan, jumlah kenderaan di Malaysia perlu dikurangkan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sekali gus mengelakkan negara berdepan kerugian.
Ujarnya, “Selagi jumlah kenderaan negara kita bertambah maka risiko kemalangan akan meningkat. Sebab itu kita kena kurangkan iaitu melalui pemerkasaan sistem kenderaan awam.”
“Apabila lebih ramai menaiki kenderaan awam berbanding kenderaan persendirian, ia akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan kemudian mengurangkan risiko kemalangan.”
“Malah, hasrat untuk mencapai pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya pada kadar 50 peratus menjelang 2030 akan tercapai sekiranya kita ada satu sistem kenderaan yang dapat memindahkan rakyat dari kenderaan persendirian ke awam,” jelasnya kepada media.
Terdahulu, negara terpaksa menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.