Tempatan

Jumlah Kelahiran Merosot, Negara Mungkin Terpaksa Bergantung Kepada Buruh Asing

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2024 – Jumlah kelahiran di Malaysia yang menunjukkan penurunan sejak tahun 2012 mungkin mengakibatkan negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkaitan Perangkaan Demografi menunjukkan penurunan jumlah kelahiran sebanyak 9.4 peratus pada suku tahun pertama 2024, iaitu sebanyak 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada suku pertama 2023.

Penurunan kadar kelahiran ini juga berkait rapat dengan kadar kesuburan jumlah (Total Fertility Rate – TFR) yang menurun dengan semakin ketara.

“Dari segi struktur umur penduduk, penurunan kadar kesuburan telah menyebabkan peratusan penduduk umur muda (0 hingga 14 tahun) semakin menurun kepada 22.6 peratus (2023) berbanding 44.5 peratus pada 1970.”

Sekiranya situasi ini berterusan, negara akan berhadapan dengan cabaran penguncupan tenaga buruh.

“Walaupun ketika ini negara masih menikmati komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) yang terus meningkat kepada 70.0 peratus pada tahun 2023 berbanding 55.2 peratus pada 1970, namun peningkatan penduduk kumpulan umur ‘aktif ekonomi’ ini adalah kesan daripada dividen demografi pertama yang dikecapi negara ketika ini yang perlu dioptimumkan sebelum ia berakhir.”

Tambah beliau, sekiranya berlaku pengurangan terhadap penduduk kumpulan umur bekerja ini, negara mungkin terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan buruh tempatan.

Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah diberi mandat untuk menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara di Shah Alam, Selangor bagi memberi perkhidmatan kesuburan serba moden dengan kos berpatutan sekali gus menjadi pusat rujukan perkhidmatan kesuburan di Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: