Judi: DAP Heret ke Mahkamah, Pengerusi PEMBELA Ajak Semua Bersolidariti Dengan Kedah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 22 November 2021 – “Alasan mereka adalah Menteri Besar Kedah telah menyalahguna kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Hj Aminuddin Yahaya dalam Facebooknya hari ini susulan berita melaporkan DAP dan peguam-peguamnya telah mengheret isu pengharaman judi ke mahkamah.
Ujar Pengerusi PEMBELA itu, apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar “pejudi vs Menteri Besar Kedah” tetapi jauh lebih besar dari itu.
Implikasinya boleh sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing.
Justeru, beliau mengajak masyarakat yang mahukan Malaysia sejahtera untuk bersama-sama menunjukkan sokongan solidariti terhadap kerajaan pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor itu.
“Saya kira, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.”
Mengakhiri kenyataan, Hj Aminuddin Yahaya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Negeri Kedah atas tindakan mengharamkan kedai nombor ekor.
Beliau juga berharap agar negeri-negeri lain turut mengambil langkah yang sama.
“Tahniah Menteri Besar Kedah atas usaha ini. Saya harap negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para taikun pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan.”
“Alhamdulillah, kita lihat bukan sahaja orang Melayu yang menyokong agar judi disekat dan dikawal kerana ianya isu sejagat selain ianya adalah suatu yang diharamkan dalam Islam,” kata Hj Aminuddin.
Beberapa hari lalu DAP melalui penama Liew Han Eng dan tiga lagi penama telah bertindak mencabar tindakan oleh Negeri Kedah yang enggan memperbaharui lesen perjudian melalui tindakan mahkamah.
Ramkarpal Singh, ahli DAP yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang, telah membantu dalam memfailkan kes tersebut.