Jual Anak Luar Nikah Dalam Talian, Sindiket Pemerdagangan Bayi Tumpas
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BOGOR, 01 Oktober 2022 – Penjualan bayi hasil daripada terlanjur golongan remaja secara dalam talian terbongkar apabila pihak polis berjaya menghidu modus operandi sindiket pemerdagangan bayi terbabit, lapor sebuah portal berita tempatan.
Menurut Ketua Polis Bogor, Iman Imanuddin, pihak polis melakukan siasatan ke atas kes pemerdagangan bayi itu selepas menerima aduan mengenai kes terbabit di kawasan Ciseeng.
Katanya, pemerdagangan bayi secara haram itu ditawarkan menerusi media sosial dengan harga 15 juta rupiah (RM4,500)
“Suspek akan mengumpulkan ibu hamil yang tidak bersuami melalui media sosial miliknya.”
“Kemudian mereka ditawarkan untuk melahirkan anak di hospital. Selepas proses bersalin selesai, anak yang dilahirkan akan diserahkan kepada individu yang ingin mengambil anak angkat,” jelasnya.
Seorang suspek warga Kecamatan Ciseeng yang dikenali sebagai Suhendra bagaimanapun diberkas kerana menawarkan bayi yang baru lahir menerusi Yayasan Ayah Sejuta bagi mengaburi mata orang ramai.
Susulan pembongkaran sindiket terbabit, beliau berkata pihak polis berjaya menyelamatkan lima ibu hamil yang sedang menunggu masa melahirkan dari tempat perlindungan dan telah diserahkan ke Jabatan Sosial Pemerintah Kabupaten Bogor.