JPN dan Imigresen Tawar Dokumen Gantian Percuma Untuk Mangsa Banjir – Hamzah Zainudin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 22 Disember 2021 – Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia akan memberikan dokumen gantian seperti sijil lahir, mykad, sijil kematian atau Pasport Antarabangsa Malaysia secara percuma kepada mangsa banjir, maklum Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen akan diarahkan supaya membantu mangsa yang dokumen mereka musnah atau hilang akibat banjir dalam masa terdekat.
“Sekarang ini mangsa boleh memberi tumpuan kepada proses pembersihan banjir dan pihaknya menerusi Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan membantu mendapatkan dokumen berkenaan.”
“Selepas ini segala dokumen, sijil kelahiran, sijil kematian, pasport atau dokumen yang musnah akibat bencana (banjir) ini akan diberikan (penggantian) secara percuma,” tambahnya.
Mengulas mengenai kejadian banjir yang sedang melanda negara ketika ini, Hamzah mengatakan bahawa banjir yang berlaku di Hulu Langat serta Shah Alam di Selangor adalah di luar jangkaan dan persediaan agensi di bawah kementeriannya memberi fokus ke negeri di Pantai Timur.
“Kebiasaannya, negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir sekitar November hingga Mac dan keadaan ini menyebabkan aturan gerak aset tertumpu ke kawasan berkenaan.”
Bagaimanapun, perbincangan akan diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan dalam mengkaji struktur penggunaan aset dan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam operasi banjir.