Tempatan

JPJ Mengecewakan! Van Sekolah Haram Semakin Berleluasa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 23 Oktober 2023 – Kebanjiran van sekolah haram bagaikan luka disiram garam bagi Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM) apabila perkara itu berterusan dibiarkan tanpa penguatkuasaan yang tegas.

Presidennya, Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, pengusaha bas berdaftar ditekan dengan pelbagai peraturan dan syarat namun aktiviti van sekolah haram terus bebas menjalankan aktiviti tanpa memikirkan implikasi terhadap keselamatan pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Macam susah sangat hendak menghancurkan kegiatan mereka ini. Kewujudan mereka mengganggu punca pendapatan BSM kerana tambang murah dan mereka boleh buat apa sahaja tanpa rasa takut.”

“Sebaliknya yang takut adalah pengusaha bas sekolah berdaftar kerana perlu patuhi semua peraturan dan syarat kerajaan. Ini adalah pengalaman kami dan terus terang rasa amat kecewa dengan JPJ,” luahnya.

Mengulas lanjut, Haron berkata terdapat kes kenderaan haram dikesan tiada cukai jalan dan insurans perlindungan selain tiada lesen PSV sewaktu pemeriksaan oleh JPJ dalam satu operasi di Bandar Kinrara Puchong baru-baru ini.

Namun, selang beberapa hari kenderaan ini muncul semula dan beroperasi seperti biasa.

“JPJ berjaya menyaman mereka tetapi mereka mampu bayar kerana kutipan dan keuntungan mereka melebihi seratus peratus. Kenapa kenderaan ini tidak disita atau pelaku dipenjarakan,” soalnya.

Susulan itu, Haron memaklumkan pihaknya akan membuat satu himpunan aman untuk mengetengahkan suara mereka dan menghentikan kegiatan van haram yang membahayakan nyawa pelajar.

“Anak-anak disumbat hingga sesak sampai muka melekat pada cermin tingkap kenderaan. Sementara kenderaan bas sekolah perlu patuh jumlah penumpang yang dibenarkan. Anak-anak ini boleh mati katak.”

“Disebabkan itu, kami akan membuat satu himpunan aman bersama dengan pemain industri untuk mendesak JPJ dan polis melaksanakan tugasan mereka dengan penuh jujur, ikhlas dan amanah,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: