JPIK Memperkasa Peranan MKI Dalam Aspek Perundangan Syariah
KUALA LUMPUR, 28 Jun 2024 – Usaha ke arah penyeragaman undang-undang Syariah diletakkan di bawah Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK) yang merupakan salah satu Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan MKI 2022 untuk memperkasakan peranan MKI dalam aspek perundangan syariah.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im semasa persidangan dewan rakyat apabila menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi yang ingin mengetahui dapatan terkini usaha untuk penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah dan sivil terutamanya daripada sudut enakmen jenayah syariah, pentadbiran Islam dan keluarga Islam yang digerakkan oleh Jawatankuasa Khas di bawah MKI.
Mengulas lanjut katanya, penubuhan JPIK adalah untuk menambah baik, menyelaras dan menggalakkan penyeragaman undang-undang syariah antara negeri-negeri dan pengharmonian antara undang-undang syariah dengan undang-undang sivil bagi memastikan kedua-dua sistem perundangan dapat dimartabatkan dan saling melengkapi.
“Sehingga kini, lapan undang-undang telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan iaitu draf Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Wakaf); Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (WilayahWilayah Persekutuan) (Pindaan) (pindaan berbangkit daripada wakaf); dan Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (WilayahWilayah Persekutuan) (Pindaan).”
“Selain itu, Rang Undang-Undang Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan); Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (WilayahWilayah Persekutuan) (Zakat); serta Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (pindaan berbangkit daripada zakat).”
“Dalam masa yang sama, draf Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Hibah); dan Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (pindaan berbangkit daripada hibah) turut dibincangkan.”
Tegasnya, Kerajaan juga melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sentiasa mengadakan rundingan dan perbincangan dengan negeri-negeri dari semasa ke semasa bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah di Malaysia melalui platform Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan.
“Pandangan dan maklum balas daripada negeri-negeri akan diambil kira dalam menambah baik peruntukan undang-undang syariah yang sedia ada,” katanya.