“Jom Ziarah Gereja”: Pentafsiran Agama Tidak Boleh Dibuat Secara Umum
Artikel Siri Ke 82/2023
“ JOM ZIARAH GEREJA”
1. PENDAHULUAN
Di Malaysia pentafsiran dan pemahaman “agama” tidak boleh dibuat secara umum kerana ia telah diikat dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11 (1) – (5) . Ia berbeza dengan amalan di lain- lain negara.
Malaysia mengamalkan kebebasan beragama, dimana setiap orang berhak :
i. menganuti agamanya
ii. mengamalkan agamanya
iii. mengembangkan agamanya dikalangan mereka yang hanya bukan Islam sahaja.
Ini bermaksud orang bukan Islam tidak boleh mengembangkan atau mempromosikan agamanya atau apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dengan apa-apa cara di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Bahkan Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri-negeri dan Parlimen berkenaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat Akta atau Enakmen bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam. Rujuk Perkara 11 (4) Perlembagaan.
2. ISLAM AGAMA BAGI PERSEKUTUAN
Jika diamati dengan sehalus-halusnya ini lah maksud Perkara 3 Perlembagaan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana Bahagian Persekutuan.
Kebebasan ini tertakluk kepada setiap orang bebas menganuti dan mengamalkan agama masing-masing tanpa menganggu orang Islam dengan apa-apa cara diayah atau mempromosi agama mereka yang boleh membawa kepada memecahkan keamanan.
3. MELAYU DAN ISLAM
Perlembagaan Persekutuan yang telah di buat oleh beberapa Suruhanjaya sebelum merdeka yang telah diwakil pihak raja-raja, pihak British, pemimpin kaum-kaum telah bersetuju dengan perkara-perkara tersebut dan sangat memelihara kedudukan orang Melayu sehingga orang Melayu tidak boleh dipisahkan dengan Islam.
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mengenai tafsiran telah mentafsirkan :
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu …..
4. KESIMPULAN
Oleh itu dengan kuasa di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan , negeri-negeri telah mengkanunkan ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM bagi negeri-negeri berkenaan.
Antara kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Enakmen tersebut adalah:
KESALAHAN-KESALAHAN
1. Kesalahan memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang penganut atau anggota dsb. Suatu agama bukan Islam.
2. kesalahan mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam.
3. kesalahan mendekati seorang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai apa-apa perkara berkaitan dengan suatu agama bukan Islam.
4. kesalahan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang Islam.
5. kesalahan membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan Islam kepada seorang Islam.
6.. kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasaan-perbahasaan tertentu yang bersumber Islam.
Semoga persefahaman masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dapat sama-sama memahami antara satu dengan lain walaupun dari segi akidah kita amat berbeza. Perbezaan tersebutlah menjadikan satu cabaran untuk kita supaya hormat menghormati antara satu sama lain dan menjaga batas-batas yang telah di tentukan oleh Perlembagaan dan perundangan negara dan negeri-negeri.
#kongsiilmubinaummah
#kawalandansekatanpengembanganagamaagamabukanislam
Salam hormat dari saya,
Prof Madya Dato’ Hj Muhamad Asri Hj Abdullah,
Mantan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM.
Kg Keroh Hulu, Padang Rengas, Perak.
19032023. Ahad.
26 Sya’ban 1444 H.
Putrajaya.
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my