“Jom Ziarah Gereja”: MAIS Persoal Risalah & Iklan Masih Mengelirukan
SHAH ALAM, 17 Mac 2023 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan “Jom Ziarah Gereja” masih tidak dipinda.
Ujar Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.
BACA JUGA: Jadi Satu Jenayah Promosikan Agama Lain Kepada Orang Islam – Che’gu Bard
BACA JUGA: Program Libat Orang Islam Di Rumah Ibadat Bukan Islam Tidak Dibenarkan
BACA JUGA: “Jom Ziarah Gereja”: Ketua Pemuda UMNO Tidak Teragak-Agak Halang Program
“Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam.”
Katanya lagi, daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam.
“Program sebegini jika dibenarkan dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.”
Tambah Tan Sri Abdul Aziz, walaupun objektif program memberi pendedahan sesuatu agama yang diamalkan di negara ini dan bagi menjalin perpaduan erat dalam kalangan penganut pelbagai agama, mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.
“Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” tegas beliau.
Oleh itu, kata beliau lagi, MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.