“Jom Ziarah Gereja”: Ketua Pemuda UMNO Tidak Teragak-Agak Halang Program
MELAKA, 14 Mac 2023 – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal bin Saleh menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk turun dan menghalang program “Jom Ziarah Gereja” yang dianjurkan oleh sebuah NGO di bawah Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).
“Malaysia ini agama rasminya adalah agama islam. Maka sudah pasti diperuntukan di dalam undang2 untuk memelihara kesucian agama islam dan kepercayaan penganutnya.”
“Pada masa yang sama kebebasan penganut agama lain dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi kebebasan ini ADA HADNYA,” kata beliau menerusi laman Facebooknya.
BACA JUGA: Biadap! Jenama Terkenal Cetak Nama Allah Atas Baju
BACA JUGA: Perhimpunan LGBTQ : Ideologi Songsang Ini Perlu Ditegah
BACA JUGA: Bazir 17 Ribu Tan Makanan, Rakyat Merungut Tak Cukup Bekalan
Jelas Dr Muhammad Akmal, selaras dengan Artikel 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, ia membenarkan negeri-negeri mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor adalah terjemahan prinsip di atas dalam Negeri Selangor.
“Dalam erti kata lain adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan orang bukan Islam kepada orang Islam.”
Atas sebab ini, beliau mendesak agensi berkaitan agama Islam dalam Negeri Selangor untuk segera mengambil tindakan sewajarnya dengan kuasa yang diberikan dalam undang-undang untuk menghalang program ini diteruskan jika pihak penganjur berdegil dalam perkara ini.
“Jika desakan ini tidak diendahkan,maka kami bukan sahaja tidak teragak-agak untuk turun dan menghalang sendiri program ini dijalankan malah kami akan mengambil tindakan menyaman pihak penganjur dan pihak agensi berkaitan Kerajaan kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya.”
“Mohon tindakan segera diambil!!!” kata beliau, mengulangi desakannya.
Baru-baru ini, tular di media sosial menunjukkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ dengan mengajak belia bukan Kristian untuk menyertainya.
Program NGO yang bernaung di bawah agensi pembangunan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia khususnya bukan Kristian untuk terlibat bersama dengan matlamat untuk memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.