Tempatan

Johor Dalam Cadangan Laksana Cuti Tiga Hari

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 22 Jun 2022 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Nor Rashidah Ismail mencadangkan agar Johor melaksanakan tiga hari rehat berbanding dua hari seminggu sebelum ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat Johor.

“Penyeragaman hari rehat semua rakyat di Johor adalah penting untuk kesejahteraan mereka,” ujarnya sewaktu perbahasan titah-titah Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar kelmarin.

Katanya, keluarga tidak mempunyai masa yang berkualiti bersama berikutan hari rehat yang berbeza bagi penjawat awam, pekerja swasta serta pelajar sekolah.

Lapor The Star, beliau turut mencadangkan agar pekerja bekerja sepenuh masa pada hari Isnin hingga Khamis tetapi dengan tambahan jam waktu bekerja.

“Sekiranya waktu bekerja 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini, maka pelaksanaan cadangan ini akan menyaksikan waktu bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Khamis.”

“Kemudian akan ada waktu bekerja setengah hari pada hari Jumaat, iaitu dari 8 pagi hingga tengah hari di mana pekerja Islam boleh menunaikan solat Jumaat mereka dengan selesa,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, katanya negara seperti Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu sudah mula melaksanakan bekerja empat hari seminggu.

ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung turut menyuarakan pendapat bahawa negeri merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Oleh itu, penyeragaman hari rehat bersama entiti swasta berupaya meningkatkan produktiviti, kecekapan serta sektor pelancongan Johor, katanya.

14 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan Negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu.

Ia berhubung dengan keluhan rakyat terhadap cuti hujung minggu tersebut yang berbeza bagi pihak swasta dan Kerajaan.

“Kerajaan Negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama,” katanya.

Pada 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah agar cuti minggu bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: