Jika Macron Menang, Muslim Akan Terancam – Alain Gabon
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 01 April 2022 – Dr Alain Gabon, Profesor Madya Pengajian Perancis di Universiti Virginia Wesleyan menyatakan, negara Perancis semakin bersifat Islamofobia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron.
Menurutnya seperti yang dilaporkan Middle East Eye, projek Macron “Masyarakat berwaspada” terhadap “hydra” Islamis di samping perundangan yang menentang “pemisahan Islamis” dan “Piagam Prinsip Islam Perancis” adalah retorik-retorik yang menggambarkan umat Islam sebagai satu ancaman.
Bukan itu sahaja, ia juga menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang pada dasarnya berbahaya yang memerlukan pengawasan besar-besaran dan perlu ditekan.
Macron menggunakan nama “hydra”, raksasa mitos Yunani, sebagai rujukan, menunjukkan imej ancaman yang muncul dari pelbagai sumber.
Tambah Alain lagi, pada Oktober 2019, mantan Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner memberitahu kepada jawatankuasa Parlimen bahawa, tanda-tanda radikalisasi agama termasuklah mempunyai janggut atau meraikan bulan Ramadan dengan menunjukkannya secara jelas.
Mengikut logik ini, jika sesuatu kelihatan terlalu Islamik, maka ia adalah radikalisasi.
Kerana itulah Alain meluahkan kekhuatirannya dengan keadaan Muslim sekiranya Macron memenangi Pilihan Raya Presiden Perancis yang akan diadakan pada 10 April ini.
“Hari ini, disebabkan oleh usaha Macron yang berjaya mengorak langkah ke hadapan dengan perundangan “RUU Pemisahan Islamis”, negara Perancis mempunyai undang-undang baharu yang boleh digunakan untuk menapis, mengharamkan atau menutup apa sahaja yang mereka pilih untuk labelkan sebagai “Islamis”, “fundamentalis” atau “pelampau”.
“Dan dengan janji Macron bersama sekutu-sekutunya untuk melakukan lebih kurang perkara yang sama, inilah apa yang umat Islam perlu jangkakan dalam pimpinannya untuk penggal kedua,” kata Alain.
Februari lalu, Muslim Perancis menyatakan kegusaran mereka setelah Dewan Perwakilan Perancis meluluskan satu rang undang-undang membenarkan pemantauan ketat di masjid, sekolah dan kelab sukan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendakwa bahawa Rang Undang-Undang “Mendukung Kehormatan Prinsip-Prinsip Republik” diluluskan bagi melindungi Perancis daripada kumpulan radikal Islam.
Rang undang-undang ini dibantah oleh sebahagian Muslim, penggubal undang-undang dan mereka yang lain yang menyifatkan RUU ini sebagai menceroboh kebebasan beragama serta menuduh Islam, agama nombor dua di negara itu sebagai radikal secara umum.