Tempatan

Musim Tengkujuh Bermula Sabtu Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 November 2023 – Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka bermula Sabtu ini sehingga Mac tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.

Menurutnya, sepanjang tempoh ini, terdapat empat hingga enam episod hujan lebat dijangka akan berlaku.

“Dalam fasa awal iaitu pada November ini hingga Januari depan, hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.”

“Namun, jika luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain.”

Ujarnya, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari itu boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku secara serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem.”

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.”

Mengulas lanjut, pada fasa akhir MTL iaitu pada Februari hingga Mac 2024, kawasan utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan juga Sabah, Labuan serta utara Sarawak akan mengalami kurang hujan.

“Keadaan cuaca panas dan kering dijangka bermula pada Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba.”

“Situasi ini berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun depan,” jelasnya.

Justeru itu, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan pihaknya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: