Jerman Kritik Tindakan India Penjarakan Wartawan Muslim
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BERLIN, 15 Julai 2022 – Baru-baru ini, seorang wartawan Muslim, Mohammed Zubair, telah ditangkap di ibu kota India, New Delhi, kerana ciapannya pada 2018 didakwa kononnya menyakiti sentimen agama Hindu dan mendorong permusuhan.
Selaku wartawan, Zubair sering melaporkan berita terkini tentang peminggiran minoriti Muslim di India dan mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Penangkapan Zubair ini telah menarik perhatian kerajaan Jerman.
Negara Jerman menyatakan keprihatinannya terhadap penahanan seorang wartawan Muslim, Mohammed Zubair dan menekankan bahawa kepentingan kebebasan akhbar juga terpakai kepada India.
“Wartawan tidak seharusnya dianiaya dan dipenjarakan kerana kerja mereka.”
“Laporan akhbar memberi manfaat kepada masyarakat, sekatan kebebasan boleh menimbulkan kerisauan,” kata jurucakap kementerian luar Jerman, Christian Wagner, semasa sidang akhbar pada Jumaat lalu.
Tegasnya, kedutaan Jerman di India akan memantau perkara ini dengan teliti.
Beliau juga memaklumkan bahawa Jerman akan bekerjasama dengan rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) dan memasukkan isu tersebut ke dalam dialog mereka dengan India.
“Kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar adalah fokus perbincangan dengan India,” ujarnya.
Sementara itu, India membantah sekeras-kerasnya kenyataan Jerman mengenai penahanan Mohammad Zubair.
Katanya, penahanan Zubair adalah perkara dalaman India dan komen sedemikian adalah tidak perlu dan harus dielakkan.
“un-informed comments “, MEA dismisses remarks by German foreign ministry over arrest of Mohammed Zubair pic.twitter.com/vLsjxL3CJZ
— Sidhant Sibal (@sidhant) July 7, 2022