Jerebu Disebabkan Kebakaran Hutan Di Kanada, Lebih 10 Juta Warga AS Terkesan
NEW YORK, 08 Jun 2023 – Puluhan juta warga Amerika Syarikat(AS) berada di bawah amaran kualiti udara pada hari Rabu, ketika asap dari kebakaran hutan di Kanada bergerak ke arah selatan negeri-negeri di AS Timur.
New York, Massachusetts dan Connecticut turut mengeluarkan amaran kualiti udara, di mana pihak berkuasa tempatan mengesyorkan agar orang ramai menghadkan aktiviti luar.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS berkata, ketika ratusan kebakaran hutan terbakar di Kanada, ia menjadikan langit di beberapa bandar berjerebu dan berwarna coklat keruh memenuhi udara dengan pencemaran yang berbahaya.
New York City mempunyai kualiti udara paling teruk berbanding mana-mana bandar besar pada hari Rabu.
Bau asap juga dapat dikesan di New York pada petang Selasa apabila langit bertukar jingga coklat dan jarak penglihatan yang semakin merosot.
Datuk Bandar, Eric Adams turut berkata bahawa semua aktiviti luar sekolah di New York dibatalkan.
Manakala penduduk digalakkan memakai topeng muka dan semua warga New York disyorkan menghadkan aktiviti luar mereka.
Menurut laporan PBB yang turut memberi amaran pada tahun lepas bahawa menjelang 2090, kebakaran hutan global dijangka meningkat dalam keamatan sehingga 57 peratus berikutan perubahan iklim yang menjadi pemacu utama peningkatan cuaca panas dan kering di AS barat.