Jepun Tingkatkan Kadar Gaji, Tarik Minat Bekerja
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
TOKYO, 19 Ogos 2022 – “Syarikat besar di Jepun mula menaikkan kadar gaji bagi menarik minat orang ramai bekerja sekali gus menangani masalah kekurangan staf yang semakin kronik di negara itu,” lapor media tempatan.
Seorang pengurus syarikat yang enggan dikenali mengeluarkan pendapat dengan berkata, pihaknya menghadapi masalah kekurangan pekerja dan kini sedang berusaha untuk menarik minat pekerja sambilan agar dapat berkhidmat di kedainya.
“Kami bertindak balas dengan menaikkan gaji tetapi ada hadnya,” ujarnya.
Susulan dari itu, hasil pemerhatian yang dijalankan oleh Nikkei Research terhadap 495 firma besar bukan berasaskan kewangan dari 2 hingga 12 Ogos lalu menunjukkan, Japan Inc berkemungkinan akan merombak semula perubahan gaji yang tidak berubah sejak beberapa dekad lalu.
Sebanyak 44 peratus responden memilih kenaikan gaji atau gaji permulaan yang tinggi berbanding beberapa pilihan lain dan 59 peratus lagi memilih langkah pendigitalan serta lain-lain bagi menyelamatkan isu kekurangan tenaga kerja.
Pakar Ekonomi Kanan di SMBC Nikko Securities, Koya Miyamae berkata, kekurangan buruh mendorong banyak syarikat menaikkkan gaji walaupun secara beransur-ansur.
“Sekarang baru peringkat permulaan, apabila penduduk semakin meningkat usia dan berkurangan, momentum untuk menaikkan gaji akan meningkat,” katanya.
Syarikat juga digesa mengamalkan persekitaran kerja yang lebih baik termasuk pengambilan pekerja sepanjang tahun dan menangguhkan persaraan untuk menggalakkan warga emas bekerja sehingga lanjut usia.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sebelum ini menyarankan agar pihak syarikat menaikkan gaji disebabkan kenaikan dua kali ganda harga komoditi yang lebih tinggi dan yen yang lebih lemah meningkatkan kos sara hidup serta tekanan kepada pekerja.