Jenayah Penipuan Kerja: Sahkan Status Syarikat Luar Negara Dengan Kedutaan, Elak Kena Tipu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 17 September 2022 – Pakar Buruh dan Presiden Persatuan Sumber Manusia Kebangsaan Malaysia, Zarina Ismail mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengesahkan status syarikat kepada kedutaan negara terlebih dahulu sebelum menerima kerja yang ditawarkan bagi mengelakkan daripada ditipu.
Beliau berkata, biarpun gaji yang lumayan ditawarkan, namun rakyat Malaysia perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mereka berlepas ke negara asing tersebut bagi mengelakkan mereka ‘terperangkap’ di negara itu.
Katanya, adalah tidak masuk akal untuk rakyat Malaysia menerima tawaran kerja di negara asing yang turut menghantar rakyatnya untuk bekerja di negara kita.
Berikutan itu, beliau menyarankan rakyat Malaysia untuk menghubungi agensi pekerjaan yang menyediakan khidmat untuk bekerja di luar negara serta berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja.
“Rakyat Malaysia perlu menyemak terlebih dahulu dengan kedutaan negara mereka untuk mengesahkan tawaran sekaligus memastikan status syarikat berkenaan sama ada ia syarikat yang betul,” jelasnya.
Sebelum ini, seramai 168 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dalam talian dan didakwa dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, ‘scammer’, pelaburan, ‘love scam’¸ dan lain lain, menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.
Bukan itu sahaja, samudera.my turut melaporkan bahawa terdapat juga rakyat Malaysia yang tertipu dengan sindiket penipuan tawaran kerja luar negara dipaksa menjadi pelacur bahkan diugut untuk diambil organ mereka untuk dijual di pasaran gelap.