Tempatan

Jemaah Solat Terawih Di Terengganu Dibenar Rapatkan Saf

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TERENGGANU, 22 Mac 2022 – Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail memaklumkan bahawa semua masjid dan surau di negeri itu dibenarkan untuk merapatkan saf semasa melaksanakan solat Terawih.

Beliau turut mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa, semua aktiviti keagamaan seperti majlis berbuka puasa, moreh, bacaan Al-Quran secara berjemaah dan qiamullail serta solat sunat Aidilfitri dibenarkan tanpa sebarang penjarakan fizikal.

“Kehadiran jemaah bagi aktiviti bulan Ramadan dan solat sunat Hari Raya di masjid dan surau dibenarkan kepada jemaah lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke atas,” ujar beliau.

Semua umat Islam di Terengganu juga turut dibenarkan untuk menziarahi tanah perkuburan dan melaksanakan solat jenazah seperti biasa.

Namun yang demikian, semua pelaksanaan aktiviti tersebut perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan virus COVID-19. Setiap jemaah yang hadir juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka, mengimbas QR Code menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri di dalam buku yang disediakan oleh pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, mana-mana jemaah yang tidak sihat dan mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir sama sekali.

Keputusan ini berikutan daripada kebenaran melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau di Terengganu berikutan peralihan negara bakal memasuki fasa peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022.

Akan tetapi, aktiviti keagamaan seperti kuliah atau ceramah agama perdana dengan kehadiran jemaah dalam kapasiti yang besar perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Selain itu, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan jamuan makan selepas aktiviti pengajaran agama dan kemasyarakatan adalah dibenarkan,” kata Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: