Jemaah Haji Diminta Bawa Ubat Dalam Bungkusan Asal
MADINAH, 31 Mei 2023 – Jemaah haji Malaysia yang bakal berlepas ke Tanah Suci, diminta membawa ubat-ubatan dalam bungkusan asal dengan label yang sah.
Lapor media, Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Abdul Jalil Ahmad berkata, hal ini bagi mengelakkan kecurigaan daripada pihak berkuasa Arab Saudi kerana jika ubat-ubatan itu gagal dikenal pasti dan diterangkan, mereka akan merampas atau membuangnya ketika melalui pemeriksaan ketibaan di lapangan terbang Tanah Suci.
Dalam pada itu, ujarnya, Pusat Rawatan Madinah (PRM) kendalian Lembaga Tabung Haji telah menempatkan petugas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz bagi menyambut ketibaan para jemaah Malaysia.
Petugas-petugas tersebut berperanan membantu pihak berkuasa di lapangan terbang Madinah, terutamanya dalam situasi jika timbul kemusykilan terhadap ubat-ubatan.
BACA JUGA: Isu Kapal LCS: Kerajaan Madani Digesa Siasat Penyelewengan
BACA JUGA: Masalah Belia Memaksa Industri Terus Ambil Pekerja Asing
BACA JUGA: Awesome TV Tempelak Menteri, Buat Kenyataan Tanpa Kajian Mendalam
Menurut beliau, “Ia sangat dititikberatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Lazimnya, pihak berkuasa di lapangan terbang akan memanggil petugas perubatan Malaysia untuk menjadi saksi dan mengenal pasti ubat yang dibawa jemaah haji negara kita jika timbul kemusykilan.”
Walau bagaimanapun, jika doktor tersebut tidak dapat mengenal pasti ubat terbabit, pihak berkuasa di lapangan terbang Madinah akan merampas atau membuangnya secara automatik.
Tambah Dr Abdul Jalil, nasihat sama turut diberikan kepada jemaah haji yang ingin membawa ubat tradisional untuk keperluan kesihatan peribadi.
“Jika ubat-ubatan tradisional itu ditemui dalam pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang, jemaah haji perlu menerangkan kegunaannya. Jika penerangan itu tidak dapat diterima, mereka akan memanggil doktor Malaysia daripada pasukan petugas di sana.”
“Namun, bukan semua doktor tahu mengenai ubat-ubatan tradisional seperti Kacip Fatimah, Tongkat Ali atau yang berbentuk serbuk, justeru mereka tidak dapat membantu memberikan pengesahan,” jelas beliau.
Justeru itu, pihaknya sentiasa berpesan kepada jemaah agar membawa ubat-ubatan dalam keadaan bungkusan serta label yang asal dan sah supaya doktor boleh membantu mengenal pasti kegunaannya.