Jemaah Haji B40 Terima Bantuan 61%, T20 Perlu Bayar Penuh
KUALA LUMPUR, 21 Mac 2023 – Jemaah haji kumpulan B40 menerima bantuan haji sebanyak 61 peratus manakala kumpulan T20 pula dikehendaki membayar keseluruhan kos haji iaitu RM30,850.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagi kumpulan B40, bayaran haji selepas ditolak bantuan kewangan haji ialah RM10,980.
“Untuk M40 pula, bantuan kewangan yang diberikan 48 peratus. Jadi, mereka hanya perlu bayar RM15,980. Bagi kumpulan T20, perlu membayar keseluruhan kos, iaitu RM30,850,” katanya dalam sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 2023.
Walaupun kos ibadah itu naik kepada RM30,850 pada tahun ini, Lembaga TH tetap meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar. Pihak mereka memperuntukkan lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian kos haji kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan ibadah haji.
BACA JUGA: Doktor Pelatih Jabatan O&G Hospital Sungai Buloh Dakwa Dibuli Pegawai Perubatan
BACA JUGA: Jom Ziarah Gereja: Menteri Belia Dipanggil Polis Bantu Siasatan
BACA JUGA: Kes Saman Teo Nie Ching
Tambah Syed Saleh, berbanding tahun lalu, bayaran haji bersasar hanya melibatkan dua kategori iaitu B40 dan bukan B40. Namun tahun ini, ia dipecahkan kepada tiga golongan iaitu B40, M40 dan T20.
Jelasnya, bayaran haji jemaah muassasah kekal seperti tahun lalu selepas Kerajaan bersetuju menanggung kadar kenaikan sebanyak RM1,000 bagi musim haji 1444H/2023M.