Tempatan

Jawab Dulu Tuduhan Guna Dana Asing, Tegas Dewan Ulama PAS Kepada PM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 Disember 2022 – Dewan Ulama PAS menegaskan, persoalan paling mustahak yang perlu dijawab adalah pendedahan penerimaan dana asing oleh Pakatan Harapan (PH) yang sudah mencetuskan kebimbangan ramai.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya, berkata persoalan itu lebih utama berbanding membangkitkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima biaya dari syarikat perjudian yang disifatkannya sangat dangkal dan jauh meleset.

Tambah beliau, dakwaan yang didedahkan oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu itu adalah lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing.

“Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya.”

Datuk Ahmad Yahya juga mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar ‘membayangkan’ wujudnya penerimaan dana perjudian, tanpa mengemukakan bukti jelas dan nyata.

“Usah jadikan kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU15 sebagai Kerajaan Pak Pandir. Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula 2023.

“Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?” ujar beliau yang turut mempersoalkan sama ada Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah diambil PN.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Yahya memaklumkan bahawa beliau menyokong langkah diambil oleh PN dan PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri, dia berkata dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: