JAPENSWP Tarik Balik Pendakwaan, JAWI Bebas Wanita Komedi 15 Juzuk
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2022 – Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENSWP) memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah, wanita yang didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan sehingga menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan orang Islam.
Menurut satu kenyataan oleh Ketua Pendakwa Syariah JAPENSWP, pendakwaan tersebut tidak diteruskan adalah bagi mengelak Siti Nuramira Abdullah didakwa di dua mahkamah berbeza.
Langkah tersebut juga adalah berdasarkan seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Tatacara Jenayah Syariah (Akta Wilayah Persekutuan) 1997, lapor The Edge Markets.
“Pertuduhan jenayah telah dimulakan di mahkamah sivil pada 13 Julai di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Perbezaannya adalah dari sudut pentadbiran keadilan bagi mengelak tertuduh didakwa di dua mahkamah berbeza bagi mencapai matlamat yang sama iaitu dihukum atas kesalahan yang dilakukan.”
“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Selaras dengan maqasid (matlamat) Syariah yang menitikberatkan pendekatan disiplin dalam pentadbiran jenayah Syariah, diharap dapat membawa tertuduh kembali kepada amalan Islam yang sebenar,” demikian menurut kenyataan tersebut lagi.
Kes wanita tersebut telah pun didaftarkan pada 13 Julai berdasarkan siasatan awal terhadap Siti Nuramira, dan sebutan pertama ditetapkan pada 14 Julai tetapi ditangguhkan kepada 21 Julai, tambah kenyataan itu.
Selain itu, Siti Nuramira yang sepatutnya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu (20 Julai), telah dibebaskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada malam Selasa.
Wanita yang didakwa menghina Islam tersebut sebelum ini ditahan semula oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas dibebaskan dengan ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.