Jangkitan Kes HIV Meningkat Di Oman
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
OMAN, 14 November 2022 – Oman telah melaporkan jumlah kes pesakit yang dijangkiti HIV yang berada di tahap membimbangkan di mana kini negara tersebut menerima laporan kira-kira lapan kes dalam masa seminggu.
Perkara tersebut telah dilaporkan oleh media tempatan negara itu, di mana kadar jangkitan adalah dikira sangat tinggi kerana angka tersebut diambil pada setiap minggu.
Menurut laporan media, pada tahun lepas sahaja terdapat lebih 3,580 kes HIV yang telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, 1,960 daripada mereka yang dijangkiti telah meninggal dunia.
Jalila Al-Noamaniya, Jururawat Senior bagi Penyakit Berjangkit di Hospital Diraja negara tersebut telah memaklumkan bahawa kenaikan angka jangkitan tersebut adalah melebihi 41 peratus, sejak kenaikan tersebut berlaku pada 2010.
Menurutnya lagi, kadar kenaikan yang tinggi dan cepat tersebut adalah kebanyakannya berpunca daripada kekurangan kesedaran dalam kalangan warganya.
Beliau turut menambah bahawa terdapat beberapa kes di mana ianya melibatkan pelajar-pelajar sekolah yang berumur bawah 18 tahun yang telah dirogol.
Pada September lalu, Oman telah menjadi negara yang ke-16 di dunia dan yang pertama di Mediterranean Timur yang berjaya menghapuskan jangkitan HIV dan siflis dari ibu kepada anak. Kejayaan negara tersebut telah disahkan serta diberi anugerah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).