Jangkitan COVID-19 Meningkat, KKM Saran Saring Guru, Pelajar
PUTRAJAYA, 05 April 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam kluster membabitkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.
BACA JUGA: 4 Hutan Di Kelantan Berisiko Terbakar Kemarau Ini
BACA JUGA: Kenyataan PM Tidak Tepat, Hina Orang Melayu
BACA JUGA: KKM Sedia Tanggung Akibat 300 Ribu Pelajar Sekolah Terjebak Vape? – Pemuda ISMA
Lima lagi, katanya, adalah kluster pendidikan lain iaitu empat maktab dan satu TASKA.
Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu dipercayai berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.
Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM menekankan kepentingan menjalani saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi.
“Ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan perlu dijalankan mengikut strategi pengujian COVID-19, selain memperkasa ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bergejala.”
“Institusi terbabit juga harus menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa supaya tindakan pencegahan dapat segera diambil,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Pegawai Kesihatan Daerah supaya menjalankan siasatan dan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan bagi sekolah atau institusi pendidikan yang merekodkan kes positif.
Selain itu, katanya, tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan, di samping melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan COVID- 19.
Untuk rekod, jumlah kemasukan pesakit COVID-19, termasuk pesakit yang disyaki COVID-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk, meningkat sebanyak 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023.
Manakala, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 13/2023, meningkat 80 peratus berbanding ME 12/2023 bagi pesakit kategori 1 dan 2, manakala kategori 3, 4 dan 5, meningkat sebanyak 33.3 peratus.