‘JANGAN TUTUP SIASATAN MOHD ADIB WALAU SEMENTARA’ – PPMM
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PPMM menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang berkata kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu dan kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.
Kenyataan sebegini tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang Menteri apatah lagi yang tidak berkaitan dengan perlaksanaan undang-undang jenayah. Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah. Jika siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi?
Sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes ini walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman oleh pihak polis berkaitan dengan pembunuhan arwah Muhammad Adib. PPMM mendesak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri.
PPMM menegaskan bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara. Adalah menjadi tugas pihak polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bagi membela arwah Muhammad Adib. Persoalan timbul kini adakah pihak polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?
Begitu juga berkaitan dengan permohonan komital yang dibawa oleh keluarga arwah Muhammad Adib perlu diselesaikan dengan segera dan adil terutamanya kerajaan perlu jelaskan pendirian, mengapa Tan Sri Tommy Thomas masih lagi dibela oleh kerajaan dalam prosiding komital di Mahkamah Rayuan sedangkan ketika masih menjadi pembangkang mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Tommy Thomas dalam menangani inkues arwah Adib.
Dalam masa yang sama banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga arwah Muhammad Adib, mantan Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh pihak polis.
Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. Koroner Rofiah Mohamad turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
Keputusan mahkamah koroner tersebut perlu dihormati kerana tiada sebarang proses perundangan yang dibawa oleh pihak kerajaan bagi merayu atau menyemak keputusan tersebut. Ini bermakna pihak kerajaan telah berpuas hati dengan keputusan koroner itu. Oleh itu jika sekarang ada yang cuba mempertikaikan keputusan koroner tersebut, ia bukan berpaksi kepada aspek perundangan negara.
PPMM mendesak siasatan kes pembunuhan arwah Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipatganda bagi membawa pembunuh arwah Muhammad Adib ke muka pengadilan. Di dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.
PPMM menegaskan kepada rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pembelaan kepada arwah Muhammad Adib masih perlu diteruskan. Seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya oleh kerajaan.
Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*