Tempatan

Jangan Terjebak Dengan Sindiket Pernikahan Siam

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 13 Mac 2022 – Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya tidak terjebak dengan sindiket pernikahan sempadan atau luar negara terutamanya di Thailand selepas kerajaan membenarkan pembukaan semula pintu sempadan negara.

Beliau bimbang sekiranya ada yang menjadi mangsa sindiket pernikahan di Thailand khususnya mereka yang ingin berpoligami.

Beliau turut menasihati golongan berkenaan supaya tidak memandang enteng hukum-hakam Islam kerana pernikahan yang tidak mengikut undang-undang adalah perkahwinan yang tidak sah di sisi agama. Tegas beliau, kebanyakan pasangan yang berkahwin melalui sindiket tidak dimaklumkan status sebenar jurunikah, wali hakim dan saksi-saksi yang terlibat.

Menurut Utusan, beliau mengatakan bahawa undang-undang perkahwinan sedia ada adalah mudah dan boleh dipatuhi. Pendaftaran semula perkahwinan luar negara juga perlu untuk tujuan rekod dan merupakan bukti kewujudan sesuatu perkahwinan mengikut undang-undang (Seksyen 25 A303).

Walau bagaimanapun, keperluan pendaftaran semula perkahwinan luar negara dilihat sebagai satu maslahah utama, tambah Mohd. Na’im yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Mengikut data JKSM, Mahkamah Syariah menerima 16,346 permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan yang kebanyakannya melibatkan pernikahan luar negara dalam tempoh lima tahun, namun hanya 11,833 kes sahaja yang diluluskan.

Bagi nikah poligami pula, hanya 7,908 kes sahaja di seluruh negara yang mendapat kelulusan pihak mahkamah syariah berbanding 10,279 pendaftaran dari tahun 2017 hingga 2021.

“Jumlah ini kebanyakannya melibatkan pernikahan di luar negara. Ada juga yang berkahwin dalam negara tetapi menggunakan nikah sindiket dalam negara,” katanya.

Jelas Mohd. Naim, kemungkinan kes-kes yang ditolak merupakan pernikahan yang tidak sah, keterangan pemohon yang tidak cukup sebagai bukti pernikahan, permohonan dibuang atau mungkin juga dibatalkan kerana ketidakhadiran ketika majlis akad dilaksanakan.

Selain tidak diakui undang-undang, pernikahan yang tidak didaftarkan boleh mendatangkan beberapa risiko terutamanya melibatkan nasab anak, hak nafkah anak dan isteri, pemilikan harta, pewarisan harta jika berlaku kematian dan isu berkaitan locus untuk membuat tindakan di Mahkamah Syariah.

Di samping itu, terdapat risiko berkaitan permohonan perceraian jika perkahwinan tersebut tidak berdaftar kerana melibatkan pelanggaran undang-undang sekaligus boleh didakwa dan dihukum.

Mengulas lanjut, Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) telah menetapkan prosedur tertentu sama ada bagi perkahwinan pertama ataupun poligami. Undang-undang ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam suatu negeri dan juga bagi yang bermastautin dalam negeri tetapi tinggal di luar negeri berkenaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: