Tempatan

Jangan Takut Bangsa Lain Ambil Alih – Zaid Ibrahim

“Ubahlah sikit pendirian. Janganlah takut kepada mereka yang ‘liberal’ atau golongan yang pandai. Jangan lagi takut kepada meritokrasi atau takut bangsa lain akan mengambil-alih. Kita semua rakyat Malaysia.”
Demikian gesaan bekas Menteri Undang-undang Zaid Ibrahim, seperti yang dilaporkan dalam portal FMT.


Menurutnya, kepimpinan Melayu ketika ini tidak mempunyai ciri-ciri kemajuan dan dibelenggu sindrom penafian sehinggakan Malaysia mundur dan jauh ketinggalan, berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.


“Pemimpin Melayu perlu membuka minda, menerima kebaikan meritokrasi, dan tidak cepat menolak apa sahaja yang dilabelkan ‘liberal’.”

Dakwanya lagi, penyatuan Melayu yang diuar-uarkan sekarang hanya didorong keinginan menguasai Putrajaya, dengan pemimpinnya terikat kepada amalan politik lama yang memperalatkan sentimen rakyat, bukannya membela mereka.

“Kumpulan itu (kepimpinan politik) langsung tidak ada ciri-ciri yang membawa kepada kemajuan. Mereka masih berselindung bawah isu etnik. Alasan agama selalu ditimbulkan, hal-hal yang emosi menjadi mainan politik, sedangkan rakyat mahu mencari peluang kerja dan gaji yang mencukupi.”

Ujarnya lagi, “Pemikiran pemimpin lebih tertumpu bagaimana rakyat boleh dikawal dan dipecah-belahkan demi pilihan raya.”    

Justeru, Zaid mencadangkan agar sebuah “Kongres Rakyat” yang menawarkan “muafakat tulen”, melibatkan semua parti dan badan merentasi kaum dan kecenderungan politik diwujudkan, bukannya Kongres Maruah Melayu.

Tambahnya lagi, kongres itu bukan sahaja melibatkan barisan pimpinan dan rakyat, tetapi juga perlu melibatkan pihak Istana.

“Rakyat tahu penglibatan Istana dalam banyak aspek ekonomi dan pentadbiran berlaku secara aktif.”

“(Di kongres itu)…kita akan berpeluang bertanya serta bertukar pendapat bagaimana kepentingan Istana dan rakyat jelata dapat diselaraskan dengan baik,” kata beliau.  

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button