Jangan Sesekali Menyentuh Perkara Akidah Anak-Anak Ini – Suzana Othman
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 21 Februari 2022 – Ketua Umum Sekretariat Gabungan Melayu Islam Beraja (Mi’Raj), Suzana Othman mewakili lebih 30 NGO mengumumkan solidariti atas akidah ketiga-tiga anak yang permohonan habeas corpus telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.
Ibu mereka, Loh Siew Hong berjaya mendapat hak penjagaan anak-anaknya. Beliau dikatakan tidak muncul dalam tempoh 3 tahun dan cuma muncul semula baru-baru ini bagi mendapatkan hak penjagaan.
Selama ketiadaan ibu kepada anak-anak tersebut, mereka telah dijaga oleh Ustazah Nazirah Nantha Kumari, pengasas sebuah yayasan Islam di Bayan Lepas.
Ibu mereka baru-baru ini telah mengumumkan hasratnya untuk mencabar penukaran agama anaknya menerusi semakan kehakiman.
Suzana menegaskan, “Kami di sini bersolidariti atas akidah tiga anak-anak itu.”
“Kita tahu anak-anak ini adalah didakap secara sukarela dan kebajikan mereka terpelihara. Jadi kita hanya ingin diadili secara adil secara berperundangan dan berperlembagaan, namun jangan sekali-kali menyentuh perkara akidah yang telah mereka dakap dengan baik, dengan harmoni, dengan kasih sayang.”
Suzana juga memetik kisah perjuangan puluhan ribu umat Islam di Tanah Melayu mempertahankan akidah yang dipegang oleh Natrah pada masa dahulu, selain menyebut beberapa lagi tokoh perjuangan yang sanggup berkorban nyawa menentang penjajahan demi memelihara akidah Islam.
“Islam datang ke Tanah melayu, didakap dan diterima dan Islam inilah yang dipertahankan selama berkurun lamanya.”
“Begitu juga dengan kes Natrah, 10 ribu orang di Singapura bukan mempertahankan Natrah tetapi mempertahankan akidah Natrah. Dan 20 ribu orang lagi menunggu di Johor bukan mempertahankan Natrah, tetapi mereka mempertahankan akidah Natrah.”
“Kami berdiri di sini adalah untuk menyambung kembali amanah ini iaitu mempertahankan akidah.”