Tempatan

“Jangan Sampai Rakyat Johor Mendesak Untuk Keluar Dari Malaysia” – Sultan Johor

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 16 Jun 2022 – “Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam titah baginda hari ini kepada Kerajaan Persekutuan.

Tambah baginda, kemungkinan Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.

Titah ini dikeluarkan selepas baginda Sultan melihat keadaan Negeri Johor yang seolah-olah dianaktirikan walaupun negeri Darul Takzim itu merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” kata baginda.

“Saya menyeru Kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaiktaraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.”

Dalam titah baginda pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan perasaan sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Kerana itu, Sultan Ibrahim menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk segera menunaikan janji-janji mereka kepada Negeri Johor.

Baginda juga mahu kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditingkatkan dengan sistem penyampaian lebih cekap serta keadaan yang selesa.

Justeru, Sultan Ibrahim menggesa agar Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan lebih banyak kepada Negeri Johor, kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil Persekutuan dikutip dari negeri itu.

Dalam titah itu juga, baginda Tuanku Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.

Sebelum ini, baginda pernah menegaskan kepada Pasukan Petugas Khas agar sebab-sebab Kerajaan Dr Mahathir yang tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dijadikan pengetahuan umum.

Hal ini kerana, keputusan itu diibaratkan seperti mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di ICJ berikutan bukti baharu telah ditemukan dan ia membuatkannya memihak kepada Malaysia.

“Ini adalah soal kedaulatan Negeri Johor. Rakyat Johor berhak untuk mengetahui mengapa Kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengambil keputusan sedemikian,” titah baginda.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: