Tempatan

Jangan Samakan Civil Society (Masyarakat Sivil) Dengan Masyarakat Madani – Prof Dr Khalif Muammar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan samakan civil society (masyarakat sivil) dengan masyarakat madani.

Dari segi etimologi dan sejarahnya istilah civil society atau masyarakat sivil berasal daripada bahasa Latin, societas civilis, yang diambil daripada idea Aristotle Koinonia Politike, yang bermaksud komuniti politik (political community). Oleh sebab itu ia berkait rapat dengan konsep politik Aristotle yang berasal daripada perkataan polis yakni city state atau negara kota. Kenapa negara kota ini penting bagi masyarakat Yunani? Kerana kebahagiaan manusia (eudaimonia) bagi Aristotle hanya dapat dicapai dalam negara kota, ia adalah kemuncak bagi kehidupan manusia. Perlu diingat Aristotle adalah seorang pagan, baginya tiada kehidupan di akhirat.

Bagi Aristotle manusia adalah zoon politikon, atau political animal, yakni haiwan politik. Kerana itu nilai seseorang manusia hanya diukur sejauh mana ia berguna kepada negara. Kehidupan politik, kehidupan dalam sebuah negara kota (polis) adalah kebahagian tertinggi. Dari sinilah munculnya istilah civil society, masyarakat yang hidup dalam sebuah kota dengan aman dan harmoni. Maka muncul pula istilah civil life, civil law, civil liberties, dan prinsip-prinsip inilah juga yang mendefinisikan demokrasi liberal. Pada akhirnya prinsip tertinggi dan nilai utama civil society dan liberalisme adalah sama iaitu kebebasan (liberty).

Pembakaran kitab suci al-Qur’an yang sering berlaku di Sweden dan Belanda baru-baru ini adalah fenomena biasa dan kesan daripada falsafah liberalisme ini, tiada nilai yang lebih tinggi daripada kebebasan berekspresi yang juga tunjang kepada konsep masyarakat sivil.

Kerana itu mahu tidak mahu apabila kita membicarakan konsep civil society ia melibatkan worldview sekular, kerangka dan nilai yang mutlak daripada falsafah dan akal manusia, jauh daripada panduan agama.

Sebaliknya konsep masyarakat madani diambil daripada karya Ibn Khaldun yang mensifatkan manusia sebagai makhluk yang secara tabi’inya bersifat madani (madaniyyun bi al-tab’), yakni makhluk yang bersosial, memerlukan satu sama lain. Perkataan madani diambil oleh Ibn Khaldun daripada Madinah, kota yang dibangun oleh Rasulullah, yang mana kota itu adalah penjelmaan agama yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan bagi umat manusia. Manusia yang bersifat madani ini mempunyai kecenderungan untuk membangun kota dan tamaddun, perhatikan di sini perkataan tamaddun berasal daripada tamaddana, yang bermaksud menjadi orang yang hidup dalam Madinah, kota agama. Kerana itu menurut Ibn Khaldun, pemerintahan yang baik bukanlah pemerintahan raja, bukan juga pemerintahan akal tetapi pemerintahan yang berasaskan pada agama. Kerana agama yang benar menghimpunkan kebaikan akal dan wahyu.

Di dalam masyarakat madani nilai utama dan prinsip tertinggi adalah keadilan, bukan kebebasan seperti di dalam masyakarat sivil. Dan kebahagiaan manusia tidak hanya dicapai di dunia yang fana’ ini, tetapi lebih penting lagi adalah kebahagiaan di akhirat nanti.

Perbezaan halus di antara masyarakat sivil dengan masyarakat madani ini tidak diketahui oleh ramai orang, hanya ilmuwan yang mendalami falsafah Islam, pemikiran Islam mampu melihatnya. Masyarakat Islam tidak sewajarnya dikelirukan dengan konsep-konsep asing yang boleh menghilangkan identiti dan jati diri mereka. Para aktivis yang ingin memimpin masyarakat perlulah mendapat bimbingan daripada ilmuwan berwibawa seperti SMN al-Attas yang telah membicarakan kepentingan pandangan alam Islam dan kerosakan yang diakibatkan oleh pandangan alam sekular.

Prof Dr Khalif Muammar

PAUTAN ASAL: FB Dr Khalif Muammar 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: