Jangan Salah Faham, Tumpuan Darurat Kali Ini Adalah Kepada Kesihatan – Ashraf Rosli
Polemik isu darurat masih hangat diperkatakan sehingga hari ini dan beberapa tokoh veteran dari pelbagai bidang dan sudut pandangan sudah memberi pendapat mereka agar Majlis Gerakan Negara (MAGERAN 2.0) diwujudkan semula dalam usaha meresetkan kembali pentadbiran negara agar berada dalam keadaaan yang terbaik. Kali ini Samudera.my berusaha mendapatkan pula pandangan dari beberapa tokoh muda mengenai perkara ini. Ikuti temubual wartawan Samudera.my bersama Ketua Penerangan Putra Malaysia(PUTRA) saudara Ashraf Rosli.
WSM: Wartawan Samudera.my
AR: Ashraf Rosli
WSM: Adakah MAGERAN 2.0 ada kemungkinan diwujudkan?
AR : Darurat ketika ini bukan darurat seperti darurat dulu. Ini boleh dikatakan sebahagian atau pun partial sahaja dan tumpuan darurat ini adalah kepada kesihatan. Jadi kebarangkalian untuk mewujudkan MAGERAN kali kedua seperti sebelumnya adalah tipis.
WSM: Bolehkah YDP Agong lead tanpa perlu lantik selain baginda atau baginda perlu lantik ikut seperti norma MAGERAN 1.0?
AR : Boleh. Tetapi lebih elok diwujudkan Majlis seperti MAGERAN, sekiranya YDP Agong melihat politik semakin tidak stabil, ekonomi terus menurun dan tidak menunjukkan sebarang perubahan kepada lebih positif dan rakyat semakin resah, YDP Agong boleh ambil alih dan melaksanakan MAGERAN 2.0. MAGERAN kali ini adalah peluang terbaik untuk penstrukturan semula dari segi politik, ekonomi, sosial dan lain-lain hal yang sudah tunggang terbalik termasuk yang diakibatkan oleh ahli-ahli politik.
WSM: Bolehkah kali ini MAGERAN dianggotai majoriti profesional?
AR : Boleh, tertakluk kepada permasalahan yang YDP Agong hendak selesaikan. Contohnya untuk perbetulkan Perlembagaan, kuat kuasa semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tambah baik berkenaan isu perkauman dan ektremis agama, kena ada pakar perundangan yang fasih pembangunan dasar dan keselamatan negara. Untuk kesihatan pula perlu tokoh dari bidang berkaitan yang mahir dengan bakteria dan kuman, nyah virus. Dari segi ekonomi pula perlu bukan sekadar pakar pada teori ekonomi semata-mata malah perlu diimbangi oleh pengamal yang mempunyai jaringan kuat di peringkat antarabangsa dan juga melibatkan komposisi pelbagai bangsa agar boleh mengimbangi semula kek ekonomi yang berasaskan Perlembagaan sedia ada. Perihal menjaga kebajikan rakyat mestilah ada pakarnya tersendiri dan merangkumi dari kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli politik yang boleh diberi tempat dalam usaha membentuk kembali negara. Tidak semestinya 100 peratus perlu bergantung pada profesional semata-mata.
WSM: MAGERAN 1.0 dulu untuk padamkan api isu perkauman dan jurang ekonomi. Apakah yang boleh dijadikan tujuan MAGERAN 2.0?
AR : Pada pendapat saya, apa yang telah dibawa dari MAGERAN 1.0 seharusnya dibawa semula dalam MAGERAN 2.0 untuk melihat keberkesanan dari pelan asal. Pepatah orang putih “Don’t reinvent the wheel”. Gunakan pelan sedia ada dan tambah baik dari segi pelaksanaan dan jika ada masalah baru yang timbul sejak pelaksanaan MAGERAN 1.0 ini tambah baik dan masukkan penyelesaian-penyelesaian baharu supaya ia dapat menjadi panduan bagi menghadapi krisis akan datang.
Isu paling berat untuk ditangani di Malaysia sekiranya MAGERAN 2.0 dilaksanakan adalah:
1. Kuatkuasakan undang-undang menghalang isu perkauman, agama, Raja-Raja Melayu dan lambang atau simbolik negara dijadikan modal politik. Segala isu sensitif tidak dibenarkan dan sesiapa melakukannya wajar diambil tindakan paling berat.
2. Pembahagian kek ekonomi mengikut jumlah populasi kaum. Mengutamakan hak Melayu dan Bumiputera (perkasakan Perkara 153).
3. Meningkatkan kesefahaman, nilai perpaduan melalui Rukunegara dan wujudkan sekolah satu aliran.
WSM: Adakah MAGERAN 2.0 boleh puaskan hati ahli Parlimen yang marah Parlimen digantung kerana kononnya tiada semak dan imbang?
AR : Dari segi memuaskan hati ini adalah perkara subjektif. Bak kata pepatah Melayu, “jangan hanya menang sorak, tetapi kampung tergadai”. Harapan saya, jikalau berlakulah MAGERAN 2.0 ini maka, Majlis ini seharusnya memikirkan solusi yang terbaik bagi hala tuju negara kita. Bukannya membuat inisiatif atau polisi yang populis dan bersifat sementara sahaja. Segala keputusan, polisi dan inisiatif haruslah dilakukan secara collective dan holistic. Tidak perlu mengambil kira puas hati ahli Parlimen, kerana jikalau kerajaan sedia ada hebat mentadbir dan bijak berpolitik MAGERAN 2.0 tidak seharusnya berlaku sehingga menyusahkan YDP Agong untuk mewujudkan semula MAGERAN 2.0.
WSM: Baru-baru ini ada ahli politik hendak mencabar kesahihan darurat kerana Parlimen tidak boleh bersidang dan menjalankan proses demokrasi. Jika MAGERAN 2.0 diwujudkan, adakah ia sudah memadai untuk menjalankan fungsi-fungsi tersebut atau MAGERAN 2.0 ada fungsi lebih atas?
AR : Sebagaimana kita telah lihat dalam fungsi MAGERAN sebelum ini, kita dapat lihat banyak perkara yang telah dapat diselesaikan dan telah memacu negara mengikut blueprint yang diputuskan dan telah membawa negara kita ke satu tahap yang lebih baik berbanding pada tahun 1970-an. Rakyat sudah merasai infrastruktur lebih maju, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dibuat melalui MAGERAN telah memajukan pelbagai kaum di negara kita. Oleh yang demikian, untuk menyatakan MAGERAN ada fungsi yang lebih atas adalah tidak tepat sama sekali.
WSM: Jika pandemik ini berlanjutan dan perintah darurat diperpanjangkan, bolehkah MAGERAN 2.0 wujud selama perintah darurat itu?
AR : Seperti yang telah saya nyatakan tadi, darurat kali ini bukanlah darurat seperti darurat dulu. Ini boleh dikatakan sebahagian atau pun partial sahaja dan tumpuan darurat ini adalah kepada kesihatan. Jadi pada pendapat saya, kebarangkalian untuk mewujudkan MAGERAN kali kedua seperti sebelumnya adalah tipis.
Namun, sekiranya konteks pandemik diperluas, kerajaan dilihat tidak stabil, Parlimen gagal berfungsi dalam mengekang wabak, gagal menaikkan kembali ekonomi dan perdagangan, gagal menyelesaikan masalah rakyat dan mewujudkan suasana tidak tenteram atau tidak selesa di peringkat akar umbi, maka MAGERAN wajar diwujudkan dalam tempoh 6 bulan hingga setahun atau sehingga ia dilihat wajar ditamatkan sebelum dikembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih semula pemimpin kerajaan baharu yang bersih dan bermoral melalui pilihanraya.
WSM: Baiklah, saudara Ashraf, terima kasih kerana sudi ditemubual.
AR : Sama-sama, terima kasih kembali kerana sudi menjemput saya.