Jangan Heret Agong Dalam Skandal Saham Azam Baki – Hj Rashidi Haris
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 13 Januari 2022 – Hj Rashidi Haris menempelak tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang mengheret Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai benteng terakhir menyelamatkan jawatannya.
“Azam seperti mengheret YDPA dalam kontroversi dirinya dengan skandal saham-saham jutaan ringgit oleh adiknya dengan menggunakan nama beliau. Kenyataan beliau mengatakan hanya YDPA sahaja yang boleh memecatnya bagai peluang terakhir beliau mahu menyelamatkan dirinya,” kata Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (PEMBELA) itu.
Ujar Hj Rashidi, Tan Sri Azam Baki tidak patut melibatkan dan meletakkan kedudukan YDPA berada dalam situasi serba salah dalam skandal integritinya itu.
Beliau menegaskan, sepatutnya, apa yang perlu dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah bersikap lapang dada dengan membenarkan dirinya disiasat.
“Paling tidak, beliau perlu bercuti supaya siasatan terhadap beliau dapat dilakukan dengan penuh ketelusan dan pegawai penyiasat akan berasa lebih secure dan bebas melakukan siasatan dengan penuh konsentrasi tanpa berasa ada gangguan dari mana-mana pihak atasan atau di sekelilinginya,” tambah Hj Rashidi.
Tan Sri Azam Baki dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam yang ketika itu merupakan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016.
Namun, beliau dalam sidang akhbarnya menjelaskan bahawa pemilikan saham yang mencetuskan kontroversi berlaku susulan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham.
Kes Tan Sri Azam Baki kini sedang disiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).