Tempatan

Sungai Berbuih & Bersabun, Kilang Ambil Kesempatan Ketika Hujan Lebat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 05 Disember 2022 – “Kejadian pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar disyaki berlaku lebih awal petang semalam ketika hujan lebat,” kata Exco Pelancongan & Alam Sekitar Negeri Selangor, YB Tuan Hee Loy Sian berhubung pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan, beberapa hari lalu.

Ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat berlaku pencemaran di sungai berkenaan disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan pada malam Khamis.

“Siasatan segera LUAS mendapati keadaan Sg. Batang Benar masih berbuih dan bau seakan sabun dikesan di lokasi berkenaan. Pemantauan statik LUAS di hilir di dalam kawasan Negeri Selangor iaitu di Sg. Semenyih dan Sg. Buah mendapati keadaan adalah normal dan tiada bau dikesan.”

Walau bagaimanapun berdasarkan makluman daripada pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), pencemaran bau tersebut sehingga 4 ton telah dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam (1 Disember 2022).

Oleh sebab itu, operasi loji rawatan air (LRA) Semenyih terpaksa dihentikan sementara pada jam 11.15 malam (1 Disember 2022), diikuti dengan LRA Bukit Tampoi pada jam 2 pagi 2 Disember 2022, namun kedua-dua loji kini kembali beroperasi masing-masing pada jam 1.30 pagi dan 8 pagi Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, YB Tuan Hee Loy Sian yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor berkata, pihak LUAS telah berhubung dengan JAS Selangor untuk tindakan susulan siasatan selanjutnya oleh pihak JAS Negeri Sembilan berkaitan pelepasan air berbuih di Sg. Batang Benar, Negeri Sembilan.

Hal ini kerana insiden tersebut berada di luar kawasan Negeri Selangor dan melibatkan kawasan perindustrian.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa, “Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.”

“Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: