Tempatan

Jambatan Pulau Pinang Pertama Tumpuan Bunuh Diri, Fahami Fenomena – Profesor Dr Ramasamy

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 05 Jun 2022 – “Jambatan Pulau Pinang pertama yang menghubungkan kedua-dua bahagian negeri menjadi kawasan tumpuan kebanyakan mangsa untuk mengambil nyawa mereka sendiri dengan melompat dari jambatan tersebut,” ujar Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dalam laman sosial Facebook milik beliau pada 3 Jun lalu.

Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian berikutan bilangan kes bunuh diri yang semakin meningkat di Pulang Pinang dan melebihi 70 kes dalam tempoh satu atau dua tahun kebelakangan ini. Bukan hanya di Pulau Pinang malah, kes ini juga turut meningkat di peringkat kebangsaan.

Susulan itu, P Ramasamy dalam kenyataan yang sama memaklumkan bahawa isu bunuh diri ini telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Peringkat Eksekutif Negeri Pulau Pinang dengan niat dan bertujuan bagi mencegah gejala ini daripada terus berlaku.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meminta Penang Institute mengeluarkan laporan tentang gejala bunuh diri dengan memberi perhatian khusus kepada kes bunuh diri di negeri ini,” ujar Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.

Beliau turut memberitahu bahawa pencegahan membunuh diri bukanlah tanggungjawab bagi kedua-dua kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan semata-mata, malah ia merupakan penglibatan masyarakat secara keseluruhannya termasuk anggota masyarakat sivil yang turut memainkan peranan penting dalam pencegahan kes bunuh diri.

Dalam pada itu, P Ramasamy percaya bahawa tanpa pemahaman tentang fenomena bunuh diri maka, ianya sukar bagi seseorang individu memahami punca dan sebab di sebalik sesuatu kejadian tersebut.

“Persoalan mengapa seseorang itu membunuh diri dan keadaan apa yang mendorongnya telah bermain di fikiran saintis sosial selama bertahun-tahun.”

“Kajian sosiologi terkenal Emile Durkheim, ahli Sosiologi Perancis mendedahkan bahawa gejala bunuh diri ditakrifkan berdasarkan bukan sahaja tindakan individu tetapi berakar pada bagaimana individu disepadukan dalam masyarakat.”

Berdasarkan kenyataan P Ramasamy itu, Durkheim yang berusaha mengemukakan teori bunuh diri secara menyeluruh telah mengenal pasti empat kes bunuh diri yang berkaitan dengan faktor kesepaduan dalam masyarakat yang berbeza.

“Mereka adalah: egoistik, altruistik, anomik dan fatalistik.”

Bunuh diri disebabkan egoistik akan berlaku dalam kalangan individu yang tidak bersepadu dengan masyarakat dan yang berfikir serta bertindak seolah-olah masyarakat tidak penting bagi mereka.

Selain itu, bunuh diri altruistik merupakan perkara biasa buat mereka yang meletakkan masyarakat atau organisasi melebihi dari kepentingan individu mereka sendiri. Bunuh diri demi agama atau negara juga adalah bunuh diri altruistik.

Anomik pula adalah bunuh diri yang disebabkan perubahan mendadak yang mengganggu kehidupan seseorang individu itu seperti menang loteri atau muflis semalaman.

Dan bunuh diri fatalistik pula berlaku dalam keadaan di mana masyarakat terlalu berkuasa terhadap individu tersebut.

Melalui sudut pandang Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu, teori bunuh diri Durkheim merupakan kemajuan besar dalam pemahaman kita mengenai fenomena bunuh diri.

“Dengan mengaitkan individu dengan masyarakat, Durkheim menunjukkan bahawa bunuh diri oleh individu tidak boleh dilihat terasing atau tidak kaitan dengan masyarakat.”

“Faktor pencetus atau bunuh diri secara tiba-tiba tidak boleh digunakan sebagai punca penjelasan bagi kes bunuh diri.”

Walau bagaimanapun, P Ramasamy menutup kenyataanya dengan berkata, teori-teori ini mungkin mempunyai nilai, tetapi betapa bebasnya tindakan individu, hubungannya dengan masyarakat tidak boleh dipandang remeh.

“Inilah yang memberi penilaian yang baik kepada teori Durkheim,” ujar beliau.

Leave a Reply

Back to top button