Jalan Mudah Dengan Jadikan Agama Sebagai Bahan Jenaka Dan Persendaan – Pengerusi PEMBELA
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Hari ini tular video seorang anak muda Melayu Muslim membuat ‘aksi’ membuka tudung, baju dan seluarnya di atas sebuah pentas persembahan komedi setelah mengumumkan beliau merupakan penghafaz Al-Quran dengan penuh bangga.
Penonton pula bersorak dan difahamkan ramai yang memuji-muji kelakuannya itu, yang menunjukkan seolah-olah sebuah ‘deklarasi’ terhadap ‘transformasi’ dirinya yang baharu.
Sebenarnya saya kira, modus operandi sebegini sudah lapuk. Mengaku macam-macam, selepas itu ‘buat deklarasi’ sebegini. Lagi-lagi di atas kononnya nama dan pentas komedi.
Sudahlah lapuk. Nampak sangat macam sudah tak ada modal untuk jadikan jenaka. Akhirnya, jalan mudah ialah jadikan agama sebagai bahan jenaka dan persendaan.
Polis kini sudah kena proaktif ambil tindakan tanpa mengharapkan rakyat atau NGO buat laporan. Kalau polis sendiri pun boleh buat laporan polis terhadap PEMBELA sebelum-sebelum ini, kita harap polis boleh buat laporan polis juga untuk kes-kes sebegini.
Malah, PBT perlu ambil tindakan tuntas selaku pemberi lesen perniagaan (dan apa jua yang berkaitan) terhadap premis ini. Saya yakin ini bukan pertama kali berlaku kerana pelaku dalam video ini nampak begitu yakin sekali seolah-olah ada galakan dan motivasi yang kuat.
Kita difahamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) sudah mula bertindak melalui arahan Menteri Agama. Difahamkan kes ini boleh didakwa di bawah Akta 557 Undang-undang Syariah Wilayah Persekutuan. Syabas diucapkan atas tindakan proaktif yang tuntas ini.
Tetapi yang sedihnya, sekali lagi dan seolah-olah setiap kali menjelang sambutan raya, pasti ada provokasi-provokasi berbentuk penghinaan terhadap agama Islam sebegini. Kita tak lupa apa yang berlaku menjelang Aidil Fitri baru-baru ini dan hari-hari raya sebelum-sebelum ini.
Kita tunggu dan lihat. NGO mana, parti politik mana, peguam mana yang akan tampil mempertahankan pelaku kes ini.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
9 Julai 2022
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my