Tempatan

Jalan Batang Kali-Genting Highlands TIDAK Tersenarai Dalam Cerun Kritikal – JMG

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2022 – Cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor, tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi dalam satu kenyataan media menyangkal laporan media sebelum ini yang melaporkan cerun terbabit berada dalam senarai pemantauan pihaknya.

“JMG ingin menafikan laporan berita tersebut,” beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam.

Tegasnya, skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semulajadi yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

“Bagi penempatan ataupun sebarang cadangan pembangunan baru di lereng bukit atau berkedudukan berhampiran cerun merupakan sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.”

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” tambahnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa cerun di kawasan tragedi itu berada dalam senarai lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG Malaysia.

Selain itu, jurucakap pengusaha Father’s Organic Farm, Frankie Tan berkata pihaknya tidak pernah menerima apa-apa surat atau sebarang maklumat mengenai senarai terbabit.

Dalam tragedi itu, seramai 92 orang mangsa terjejas dengan hanya 61 orang daripadanya terselamat.

Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada lima agensi utama selama sembilan hari.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: