JAKIM Serius Dan Tidak Main- Main Mengenai Isu Halal
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SABTU, 21 Mei 2022 – “Kita serius dan tidak main-main mengenai halal. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa baru-baru ini JAKIM menggantung sebuah dari 16 loji yang ada di bawah pemantauan JAKIM untuk siasatan.”
Tindakan tersebut perlu dijalankan memandangkan pensijilan halal di Malaysia menjadi antara yang dihormati di seluruh dunia.
Kenyataan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dalam satu sidang media semasa Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) mukim Trong di Bukit Gantang semalam.
Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) tidak akan berkompromi sama sekali dengan perkara yang melibatkan pensijilan halal dan akan bertindak sewajarnya apabila menerima sebarang maklumat termasuk menggantung kilang atau loji pembuatan makanan tersebut dengan tujuan untuk melakukan siasatan lanjut.
Kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia pada 14 Mei lalu telah digantung oleh JAKIM sehingga mereka memperolehi hasil siasatan secara menyeluruh.
Tindakan itu dibuat selepas seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘The Hood Man’ atau Abdullah membuat satu pendedahan di mana loji sembelihan tersebut didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
“Penyebar video itu menggunakan nama samaran Abdulllah. Dia ada nama lain, dia dari Somalia. Kita juga sedang menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut,” ujar Idris Ahmad.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam masa yang sama memaklumkan, selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dengan pembatalan status badan pensijilan halal sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.