Tempatan

JAKIM Sangkal Dakwaan Kenampakan Hilal Syawal 1443H Terbatal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 14 April 2023 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyangkal dakwaan bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal 1443H/ 02 Mei 2022 di Labuan terbatal.

Jabatan itu menyatakan, kenyataan tersebut amatlah tidak tepat dan sangat mengelirukan.

Menurut JAKIM, hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, di mana seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya mengesan anak bulan melalui teleskopnya dan imej yang diperolehi telahpun disemak oleh jawatankuasa berkenaan.

“Selain itu, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal melalui peralatan teodolit. Imej yang diperolehi kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur,” memetik kenyataan itu.

BACA JUGA: Artifak Purba ‘Penang Women’ Bakal Kembali Ke Malaysia

BACA JUGA: Kilang Peluru Tercanggih Bakal Dibina Di Kuala Pilah

BACA JUGA: Rapid Rail Lanjut Waktu Operasi Sehingga Jam 1:30 Pagi Sabtu Ini

Sahibus Samahah Mufti kemudiannya mengadakan satu perbincangan khusus bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan sebelum keputusan kenampakan tersebut dibuat.

Susulan itu, kenampakan hilal dimaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dldi-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, JAKIM turut meyangkal kenyataan yang menyatakan bahawa laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Ujar mereka, “Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan kerana semakan JAKIM di laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.”

Jabatan itu juga menyaran semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal agar tidak berlaku kebimbangan dan polemik yang boleh mencetus ketidaktenteraman awam.

Pihak JAKIM juga mengingatkan agar masyarakat mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen, malah mereka menyeru orang awam menghentikan sebarang perbahasan dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam Khamis 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: