NGO

JAKIM, PBT Perlu Permudah Prosedur Dapatkan Sijil Halal, Bantu PMK – DPMM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2022 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyaran agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempermudah prosedur untuk mendapatkan sijil halal bagi membantu perusahaan mikro dan kecil (PMK).

Lapor media tempatan, usahawan PMK merangkumi lebih 76 peratus daripada keseluruhan syarikat yang berdaftar di Malaysia. Mereka juga menyumbang lebih 34 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun tidak memperolehi sijil halal kerana keperluan untuk mendapatkan lesen daripada PBT.

DPMM mengatakan, “Perlu ada penyelarasan di peringkat JAKIM dan PBT untuk mempermudah keperluan mendapatkan persijilan halal dengan penetapan prosedur mudah bagi membantu usahawan PMK ini.”

Mereka juga menyokong sepenuhnya usaha JAKIM dalam memperkasakan Ekonomi Halal melalui Dasar Halal Negara yang akan dibawa dalam pembentangan Bajet 2023.

Selain daripada itu, susulan beberapa isu pematuhan proses bahan mentah dan penyembelihan meragukan yang berlaku di Australia, DPMM mencadangkan agar JAKIM membuat audit secara terus di negara pengeluar berbanding melalui Badan Pengiktirafan Halal negara berkenaan.

Cadangan ini menawarkan kepakaran dalam bidang persijilan dengan mewujudkan keperluan bersyarat untuk mengambil Eksekutif Halal (EH) yang merupakan rakyat Malaysia.

“Kita boleh meningkatkan peluang pekerjaan EH di luar negara di samping memantau proses halal di kilang-kilang tersebut, malah logo halal JAKIM juga dapat ditingkatkan dan dijamin mutunya,” ujar DPMM.

Mengulas lanjut, pihak mereka turut berharap agar JAKIM dapat mengiktiraf Asia Halal Body supaya industri di Malaysia dapat membeli bahan mentah dalam kalangan negara Asia sendiri walaupun sudah mempunyai sijil halal negara lain.

“Potensi Ekonomi Halal dengan Jaminan Persijilan Halal JAKIM sekiranya dikembangkan ke luar negara secara menyeluruh (eksport perkhidmatan dan pengkhidmatan) boleh mencecah nilai dagangan sebanyak AS$1.3 trilion.”

“Ini perlu dimanfaatkan segera, bahkan dalam hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) telah menyasarkan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) dalam Hab Halal dan Makanan dengan menjana nilai ‘gross operating surplus’ (GOS) RM11.75 bilion dengan memberikan ruang pekerjaan langsung kepada 10,924 orang,” kata DPMM.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: